Ruwaida Md Zain
EMPAT individu yang engkar SOP Covid-19 diambil tindakan oleh dua anggota polis di bandar Puteri
Shah Alam: Jangan 'main-main' atau ambil mudah Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 di lokasi awam berikutan pihak polis kini ada di mana-mana dengan berpakaian preman.
Tanpa membunyikan siren kereta peronda polis, anggota polis ini akan terus menerjah dan mengenakan kompaun kepada pesalah.
Anggota polis Selangor memilih untuk memakai pakaian biasa bagi memudahkan operasi 'serang hendap' terhadap individu yang masih berdegil engkar arahan SOP di lokasi awam.
Berdasarkan satu video tular di media sosial, empat lelaki yang sedang asyik menjamu selera di sebuah restoran di Bandar Puteri, Puchong diambil tindakan oleh dua anggota polis selepas tidak mematuhi SOP termasuk tidak memakai pelitup muka.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin ketika dihubungi berkata, Polis Selangor mempunyai pasukan pematuhan yang membuat pemantauan di peringkat Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor mahupun di peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini.
"Pasukan ini membuat pemeriksaan mengejut ke atas premis-premis di Selangor, jadi mereka yang didapati ingkar pada SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan diambil tindakan.
"Pasukan ini ditubuhkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac lalu sehinggalah ke hari ini," katanya tadi.
Beliau berkata, pasukan pemantauan tidak semestinya berpakaian beruniform namun perlu memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa semasa mengambil tindakan ke atas orang awam yang melanggar SOP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan