Rabu, 25 November 2020

Polis kenal pasti 7 dalang penyeludupan rentas sempadan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata ketua dan anggota sindiket terbabit sudah dikenal pasti dan usaha memburu mereka sedang dilakukan.

"Satu sindiket dikenal pasti ini dipercayai terbabit menyediakan tujuh guni daun ketum dan sejumlah ubat batuk untuk diseludup melalui lorong tikus di pos sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar awal pagi tadi.

"Sindiket penyeludup menggunakan lorong tikus di pos sempadan itu untuk mengambil guni ketum dan ubat batuk itu sebelum terserempak dengan dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sedang membuat tinjauan," katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Beliau mengulas insiden tembakan antara dua anggota PGA dengan sekumpulan penyeludup dari negara jiran ketika sedang menjalankan tugas pemantauan dan risikan di pos sempadan Malaysia - Thailand di Padang Besar, awal pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador  (dua dari kiri) bertanya sesuatu kepada anggota bertugas di Pos Sekatan Jalan Raya Taman Radzi selepas melawat kawasan berlakunya tembakan ke atas seorang anggota PGA yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand yang maut dipercayai ditembak, awal pagi tadi. - Foto BERNAMA
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (dua dari kiri) 
bertanya sesuatu kepada anggota bertugas di Pos Sekatan Jalan 
Raya Taman Radzi selepas melawat kawasan berlakunya
tembakan ke atas seorang anggota PGA yang bertugas di 
sempadan Malaysia-Thailand yang maut dipercayai ditembak, 
awal pagi tadi. - Foto BERNAMA

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador  (dua dari kanan) melawat kawasan berlakunya tembakan ke atas seorang anggota PGA yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand yang maut dipercayai ditembak, awal pagi tadi. - Ihsan FB Abdul Hamid Bador
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (dua dari kanan) 
melawat kawasan berlakunya tembakan ke atas seorang anggota 
PGA yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand yang 
maut dipercayai ditembak, awal pagi tadi. - Ihsan FB Abdul 
Hamid Bador

Dalam kejadian jam 3.10 pagi itu, anggota Batalion 3 (Senoi Praaq) PGA Koperal Baharuddin Ramli, 54, maut selepas terkena dua das tembakan pada dada dan perut, manakala rakan setugasnya, Koperal Norihan A/L Tari, 39, parah terkena tiga das tembakan pada kanan perut dan rusuk belakang.

Katanya, sindiket penyeludupan antara dua negara ini mengamalkan sistem 'barter trade' (pertukaran barang) yang mana sindiket tempatan hanya perlu membekalkan daun ketum dan ubat batuk.

"Sindiket negara jiran pula akan membekalkan pelbagai jenis dadah termasuk syabu, pil yaba dan heroin kepada sindiket tempatan.

"Urus niaga yang dilakukan tidak membabitkan sebarang wang tunai, hanya pertukaran barang kerana daun ketum boleh dikatakan agak berharga di negara jiran," katanya.

Abdul Hamid juga berkata, seramai 13 suspek yang terdiri daripada tujuh kumpulan penyeludup itu sudah diberkas dalam satu operasi hari ini.

Anggota PGA dilihat sedang mengawal ketat Pos Sekatan Jalan Raya Taman Radzi ketika Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador  melawat kawasan berlakunya tembakan ke atas seorang anggota PGA yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand yang maut dipercayai ditembak, awal pagi tadi. - Foto BERNAMA
Anggota PGA dilihat sedang mengawal ketat Pos Sekatan Jalan 
Raya Taman Radzi ketika Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul 
Hamid Bador melawat kawasan berlakunya tembakan ke atas 
seorang anggota PGA yang bertugas di sempadan Malaysia-
Thailand yang maut dipercayai ditembak, awal pagi tadi. - 
Foto BERNAMA

"Tiga daripada 13 suspek yang diberkas mengaku terbabit dalam insiden berbalas tembakan pagi tadi. Usaha memburu ahli sindiket yang lain masih giat dijalankan," katanya.

Beliau juga berkata, risikan mendapati sindiket penyeludupan Thailand akan memanjat tembok sempadan menggunakan tangga untuk membawa masuk guni berisi ketum dan ubat batuk ke negara mereka.

Bekalan dadah untuk pasaran tempatan pula akan ditinggalkan sindiket negara jiran di lokasi tertentu di pos sempadan berkenaan.

Terdahulu, BH melaporkan enam daripada 13 individu yang disyaki mendalangi serangan bersenjata api terhadap dua anggota PGA berkenaan sudah ditahan pihak berkuasa.

Tiada ulasan: