Kuala Lumpur: Demi kelangsungan hidup dan zaman serba susah, seorang bekas pesilat negara terpaksa membuat keputusan paling sukar dalam hidupnya, apabila 'barang' yang disayangi terpaksa dilepaskan.
Tiga barang kesayangan iaitu pingat emas Kejohanan Silat Dunia 1994 di Hat Yai, gangsa Sukan Sea Chiang Mai Thailand 1995 serta baju silat Malaysia dijual kepada satu kedai barangan terpakai bundle di Kuala Lumpur dengan harga semurah RM100 lebih.
Menurut sumber yang enggan namanya dikenali, dua pingat berkenaan adalah milik bekas atlet negara, Aslinda Ahmad yang pernah mengharumkan nama negara sekitar era 1990-an.
"Saya sebelum ini pernah berhubung beberapa kali dengannya dan memang tahu keadaan Aslinda.
"Dia tidak menafikannya tapi tak mahu mengulas lanjut. Sebab Aslinda ini seorang yang tidak suka berkongsi masalah dengan orang, dia banyak simpan.
"Pingat itu maruah seorang atlet. Nak menang emas di Kejohanan Dunia itu bukan mudah. Anda sendiri boleh fikir bekas atlet negara, juara dunia hidup melarat sampai jual pingat.
"Saya harap sangat Menteri (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican) mengambil maklum perkara ini. Takkanlah nak biarkan saja. Bantulah bekas atlet negara kerana tidak semua hidup senang terutama macam sekarang ini," katanya.
Sebelum ini, negara pernah dikejutkan apabila bekas pemain bola sepak negara, Khalid Jamlus terpaksa melelong trofi Kasut Emas yang dimenanginya pada 2002, Julai lalu.
Tindakan berkenaan juga membongkar kehidupan sukar pemain berkenaan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap sejak tiga tahun lalu yang akhirnya dijual dengan harga RM10,500.
Tegas sumber itu, beliau amat berharap pihak berwajib seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tampil membantu dengan memberi pekerjaan bukan hanya kepada Aslinda tapi kepada bekas atlet lain yang kini berdepan dengan pelbagai masalah.
"Sedih bila dengar berita macam ini. Terpaksa jual pingat yang dimenangi kerana kelangsungan hidup. Nak beli makanan. Makan maggi. Pingat itu maruah dan jasa kita. Ia memberi nilai dan erti yang besar.
"Saya harap sangat menteri dan pihak atasan dapat membantu bukan berikan duit one off tapi bantu memberikan dia pekerjaan untuk meneruskan kehidupan.
"Saya turut dimaklumkan bahawa ada pihak sedang cuba mendapatkan kembali pingat itu dari kedai berkenaan dan kini sedang berurusan dengan pemilik baharu pingat itu untuk membelinya semula," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan