Selasa, 3 November 2020

Penjara seluruh negara tampung 20,000 lebihan banduan, Dewan Rakyat diberitahu .

Timbalan Menteri Dalam Negeri Jonathan Yasin berkata semua tahanan baru perlu 
mempunyai keputusan ujian saringan Covid-19 sebelum dimasukkan ke penjara sebagai 
mencegah penularan wabak itu. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Sejumlah 43% lebihan banduan iaitu 20,341 di penjara seluruh negara, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Jonathan Yasin berkata, terdapat 66,761 banduan yang ditempatkan di 39 penjara di seluruh negara pada Oktober.

Katanya, penjara terbabit hanya mampu menampung seramai 46,420 individu.

Beliau menjawab kepada Mohd Hatta Ramli (PH-Lumut), yang bertanya mengenai langkah diambil kementerian untuk mereformasi sistem penjara susulan penyebaran kes Covid-19 dalam kalangan banduan dan kakitangan.

Jonathon berkata, 1,156 tahanan disahkan positif virus itu, manakala 83 kes lain melibatkan kakitangan penjara dan ahli keluarga turut dilaporkan.

Katanya, Jabatan Penjara mengikut SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan untuk menangani kes positif dengan menjalankan kuarantin bagi mencegah penularan wabak.

Beliau berkata, semua tahanan baru perlu mempunyai keputusan ujian saringan Covid-19 sebelum dimasukkan ke penjara.

Katanya, langkah lain termasuk penukaran bekas kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) menjadi penjara sementara bagi individu yang direman dan penubuhan pusat transit untuk tahanan baru buat sementara waktu.

Tiada ulasan: