Jumaat, 13 November 2020

Pencemaran air, bekalan air penduduk Sik, Kuala Muda terjejas

Noorazura Abdul Rahman

GAMBAR hiasan

Alor Setar: Sejumlah 34,200 akaun Syarikat Air Darul Aman (Sada) di Sik dan Kuala Muda mengalami gangguan selepas Sada terpaksa menghentikan operasi tiga Loji Rawatan Air (LRA) susulan pencemaran air dipercayai akibat tumpahan minyak.

Ketua Pegawai Eksekutif Sada Mohd Suhaimi Mohd Jusoh berkata, tiga loji terbabit adalah di LRA Jeniang Baru, LRA Jeniang Lama dan LRA Sungai Pau.

Katanya, berikutan itu pengguna mula mengalami gangguan bekalan bermula pada 6 petang tadi sehingga kerja pembersihan dan pemulihan air mentah dijangka selesai dilakukan awal pagi esok.

"Berdasarkan pemantauan, kesan tumpahan minyak sudah berhenti dan sekarang Sada dalam proses membersihkan tumpahan di tiga LRA yang dimasuki minyak.

"Bagaimanapun LRA di kawasan hilir seperti LRA Teloi Kanan, LRA Bukit Selambau, LRA Kuala Ketil, LRA Kulim Hi Tech dan LRA Sungai Petani masih terkawal dan dalam pemantauan," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Mohd Suhaimi berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas Lembaga Sumber Air Negeri Kedah bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian terbabit.

"Sehingga kini, kerja pembersihan masih giat dijalankan dan operasi tiga loji terbabit dijangka akan pulih sebaik semua kerja terbabit selesai awal pagi ini.

"Kita akan mengemas kini maklumat sekiranya terdapat perkembangan terbaharu," katanya.

Tiada ulasan: