Selasa, 24 November 2020

Pelajar tahfiz mati lemas dalam tali air

ainulillia

 

Mangsa tidak tahu berenang, tergelincir sebelum tenggelam

KOTA BHARU – Seorang pelajar tahfiz ditemui maut akibat lemas ketika bermandi-manda di tali air bersama dua rakannya di Kampung Telaga Bata, Sering, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, mangsa, Muhamad Alif Asyraf Parudin, 13, yang tidak tahu berenang dipercayai tergelincir ke dalam tali air terbabit sebelum tenggelam dan hilang.

Alif yang merupakan pelajar tahfiz tingkatan satu di Sekolah Menengah Agama (A) Tharbiyah Mardhiah, Panchor itu kemudiannya ditemui oleh sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Fauzi Yazid berkata, seramai enam anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Katanya, mayat mangsa ditemui pada jam 10.43 pagi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, mengesahkan kejadian berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, datuk saudara mangsa, Ab llah Ismail, 65, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan oleh ibu mangsa, Sarifah Mohamad, 52.

Ab Ilah seperti dilapor Utusan berkata, mangsa yang juga merupakan anak tunggal pergi ke tali air kira-kira jam 9 pagi selepas dia memaklumkan kepada ibunya untuk mandi di kawasan berkenaan bersama rakan karib.

Katanya, ibu mangsa tidak pernah membenarkan Muhamad Alif bermain di tali air meskipun mangsa merayu beberapa kali kerana bimbang dengan keselamatannya kerana mengetahui mangsa tidak pandai berenang.

“Ibu dia memang tidak benarkan bermain air biarlah dia merayu macam mana pun. Ibunya tahu dia tidak pandai berenang,” katanya.

Tiada ulasan: