Rabu, 4 November 2020

Orang ramai diseru derma darah bagi tampung keperluan bekalan di Sabah

Timbalan Pengerusi Program Darah Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Sabah Leslie 
Chan berkata Unit Tabung Darah Sabah pernah meminjam bekalan darah dari Hospital 
Kuala Lumpur dan Sarawak untuk merawat pesakit. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Orang ramai di negeri ini diseru untuk menderma darah bagi menampung bekalan darah yang agak kritikal di Hospital Queen Elizebeth I, Hospital Kudat dan Tuaran, kata Penyelaras Program Darah Pandemik Covid-19 Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Sabah Leslie Chan.

Beliau yang juga timbalan pengerusi program darah BSMM Sabah berkata penularan pandemik Covid-19 membimbangkan ramai penderma darah untuk turun menderma yang menyebabkan kekurangan bekalan darah di negeri ini.

Katanya Unit Tabung Darah Hospital Queen Elizebeth I, Hospital Kudat dan Tuaran juga ditutup sementara waktu kerana terdapat kakitangan hospital yang disyaki positif Covid-19.

“Disebabkan ini, penderma tidak berani untuk menderma darah dan menyebabkan Unit Tabung Darah Sabah meminjam bekalan darah dari Hospital Kuala Lumpur dan Sarawak.

“BSMM memahami bahawa transfusi darah ini merupakan komponen yang amat penting dalam perawatan pesakit,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Katanya Unit Tabung Darah Sabah meminjam bekalan darah sebanyak 2 kali daripada 2 hospital itu melibatkan 600 pain darah pada Mac dan 850 pain darah pada September lepas, dan sekurang-kurangnya 300 pain darah diperlukan sehari bagi hospital seluruh negeri namun beliau tidak mengulas lanjut tentang bekalan darah sedia ada.

Sehubungan itu, Leslie berkata BSMM Sabah akan menjalankan program derma darah di bangunan BSMM Sabah di sini pada setiap Jumaat hingga Ahad sepanjang bulan ini mulai pukul 9 pagi hingga 4 petang.

Tiada ulasan: