BEAUFORT: Seorang lelaki ditemui mati dipercayai dirempuh kereta api dalam kejadian di Batu 62 1/2, di sini, semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai Sabiri Idong, 56, ditemui oleh seorang pemandu kereta api kecil ketika melalui landasan terbabit kira-kira jam 3.30 petang.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4 petang.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada hari sama kira-kira jam 1.30 petang ketika pengadu memandu kereta api dari stesen Beaufort ke stesen Halogilat.
“Kira-kira jam 4 petang ketika dalam perjalanan pulang, pengadu dihubungi ketua stesen mengatakan ada kemalangan berlaku dan pengadu juga menyatakan beliau tidak nampak sesiapa di atas landasan ketika sedang bertugas serta tidak menyedari kejadian itu berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azmir berkata, mangsa ditemui oleh seorang pemandu Sharvo (kereta api kecil PMC-200) ketika dalam perjalanan dari stesen Halogilat menuju ke Beaufort.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu terbabit ternampak satu objek di atas landasan dikerumuni beberapa ekor anjing dan apabila dihampiri, objek itu didapati adalah manusia dan pemandu berkenaan terus menghubungi ketua stesen Beaufort,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan