Oleh Zuliaty Zulkiffli
ALOR SETAR: Perkhidmatan feri dari Kuala Perlis ke Langkawi akan dibuka semula esok selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini akan berakhir tengah malam ini.
Sehubungan itu, orang yang ramai yang ingin melancong atau berurusan di Langkawi boleh menggunakan perkhidmatan feri di Kuala Perlis selain Kuala Kedah.
Pengurus Sumber Manusia & Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, setakat ini hanya satu perjalanan pergi dan balik dari Kuala Perlis ke Langkawi disediakan.
Beliau berkata, jadual perjalanan feri dari Kuala Perlis ke Langkawi pada jam 10.30 pagi manakala dari Langkawi ke Kuala Perlis pada jam 5 petang.
"Orang ramai boleh membuat tempahan tiket di kaunter atau melalui secara dalam talian.
"Perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi juga kekal satu perjalanan iaitu jam 10 pagi manakala dari Langkawi ke Kuala Kedah pada jam 5 petang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baharin berkata, orang ramai dinasihatkan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.
Selain itu, Baharin berkata, penambahan perjalanan akan dibuat dari masa ke semasa bergantung pada permintaan.
Pada 9 November lalu, Syarikat Ferryline Ventures Sdn Bhd (Ferryline) menghentikan perkhidmatan feri keluar masuk dari Terminal Kuala Perlis ke Pulau Langkawi sepanjang PKPB.
Berikutan itu, perjalanan ke Pulau Langkawi hanya beroperasi di Terminal Jeti Kuala Kedah yang membabitkan satu perjalanan pergi dan balik setiap hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan