Khamis, 12 November 2020

Contohi ‘wilayah bebas berniaga’

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
MUHAMMAD FAIZ HASHIM

KUANTAN: Kementerian, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara diminta mencontohi tindakan Kementerian Wilayah Persekutuan yang menjadikan wilayah berkenaan sebagai ‘Wilayah Bebas Berniaga’ selama enam bulan bermula 15 November ini.

Pengerusi Sekretariat NGO Pemuda UMNO, Muhammad Faiz Hashim berkata, dalam setiap setiap tindakan ketika ini, ia perlu mengutamakan dan membantu rakyat keluar daripada kesukaran hidup yang terjejas ekoran penularan Covid-19.

“Apa yang dilakukan kementerian itu wajar mendapat pujian dan menjadi contoh dalam memastikan rakyat terus terbela nasib mereka yang sedang bergelut dengan kemelut sara hidup dalam meneruskan kehidupan mereka.

“Ramai diberhentikan kerja kesan pandemik Covid-19 ini, perniagaan dengan membuka gerai atau kedai makan menjadi pilihan kepada mereka dalam menambah pendapatan keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi kebenaran kepada warga kota berkenaan untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai di sekitar bandar raya, bermula Ahad ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, peniaga perlu memohon lesen perniagaan sementara yang sah selama enam bulan di laman web DBKL, yang ditawarkan secara percuma. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: