Isnin, 9 November 2020

Belanjawan 2021: Insentif M40 tidak berkurang

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim, Alzahrin Alias, Suzalina Halid dan Fahmy A Rosli 

Kepentingan M40 turut diambil kira dengan kira-kira RM90.3 bilion dianggar masuk ke dalam ekonomi negara melalui golongan ini. - Foto hiasanKepentingan M40 turut diambil kira dengan kira-kira RM90.3 bilion dianggar masuk ke dalam ekonomi negara melalui golongan ini. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mengurangkan inisiatif kepada kumpulan M40 melalui Belanjawan 2021 apabila kira-kira RM10 bilion diperuntukkan sebagai bantuan kepada golongan itu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata peruntukan diberikan membabitkan insentif seperti pembayaran cukai yang dikurangkan satu peratus bagi mereka berpendapatan RM50,000 hingga RM70,000 setahun.

Beliau berkata, selain itu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga dikurangkan kepada sembilan peratus daripada 11 peratus yang pastinya banyak membantu golongan M40.

"Ini memberi lebih kurang RM90.3 bilion yang masuk ke dalam ekonomi. Pelbagai lagi insentif cukai diberikan kepada M40 dan bantuan pembayaran bersasar yang dimudah cara untuk golongan terkesan.

"Ia termasuk juga moratorium yang mana peminjam termasuk M40 perlu hanya membuat deklarasi sendiri seperti hilang pekerjaan dan pendapatan untuk mendapatkan lanjutan moratorium secara automatik, " katanya melalui wawancara yang disiar secara langsung di TV3 malam ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan kononnya Belanjawan 2021 tidak begitu memihak kepada golongan M40.

Pada masa sama, Tengku Zafrul berkata, kerajaan tidak boleh hanya melihat aspek jangka pendek bagi membantu golongan M40 dan B40, sebaliknya perlu juga ada perancangan jangka panjang.

Beliau berkata, ia termasuklah dengan perancangan kerajaan mewujudkan sebanyak 500,000 pekerjaan bagi memastikan golongan itu lebih bersifat lestari dalam jangka panjang. 

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: