Selasa, 3 November 2020

Anggota polis beransur pulih

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
Ayob Khan Mydin Pitchay

JOHOR BAHRU : Anggota polis yang parah selepas kenderaan dinaiki terlibat dalam kemalangan semasa mengejar penjenayah di Jalan Kangkar Tebrau, Kampung Kangkar Tebrau semalam sudah beransur pulih.

Keadaan Lans Koperal Mohd. Fadhirul Musa, 32, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail (HSI) bertambah baik apabila dia sudah sedarkan diri dan dipindahkan ke wad biasa hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, hasil pemeriksaan yang dibuat doktor pakar mendapati anggota polis berkenaan tidak mengalami kecederaan serius pada organ dalaman.

“Pagi ini, anggota kita tidak lagi berada di wad ICU dan sudah dipindahkan ke wad biasa apabila dia sudah mula sedarkan diri.

“Pemeriksaan mendapati dia mengalami kecederaan di bahagian hidung dan bahagian gusi. 

“Doktor pakar juga mengesahkan, dia tidak ada mengalami kecederaan serius pada organ dalaman,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi semalam, seorang anggota polis, Konstabel Nicholester Dadup Anak Unggat, 20, maut selepas cedera parah pada bahagian kepala.

Manakala Mohd. Fadhirul yang memandu kereta MPV, selepas kenderaan yang dinaiki mereka bergesel dengan sebuah kereta Perodua Myvi ketika mengejar penjenayah sebelum terbalik.

Dalam masa yang sama, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Aruz dari arah bertentangan telah melanggar kereta MPV polis tersebut hingga menyebabkan MPV itu terbalik. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: