Ahad, 22 November 2020

Air bertakung di Lebuh Raya Pasir Gudang

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
LEBUH Raya Pasir Gudang, Johor dinaiki air kerana hujan lebat 
berterusan petang ini. - MEDIA SOSIAL

PASIR GUDANG: Hujan lebat di daerah Seri Alam menyebabkan beberapa jalan raya dilimpahi air sehingga tidak boleh dilalui kenderaan.

Antara jalan raya terlibat adalah KM31-KM34 Lebuh Raya Pasir Gudang, Jalan Raya Kampung Sungai Rinting Masai dan Plentong serta sekitar kawasan berhampiran.

Ibu Pejabat Daerah Polis Seri Alam dalam hantaran Facebook memaklumkan hujan lebat pada pukul 3 petang menyebabkan beberapa jalan dilimpahi dan takungan air.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kawasan banjir.

“Selain itu, mereka diharap berhati-hati, perlahankan kenderaan dan jaga jarak antara kenderaan yang lain,” kata hantaran itu.

Ketua Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seri Alam, Asisten Superintenden Mohd Hafiz Lokman telah hadir bersama pegawai dan anggota membuat rondaan, pemantauan serta kawalan lalulintas di jalan yang dilimpahi air bertakung. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: