Selasa, 24 November 2020

84 pesakit Covid-19 maut sebelum sampai ke hospital

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Seramai 84 korban Covid-19, bersamaan 28 peratus daripada keseluruhan kematian setakat 10 Nov meninggal dunia sebelum mendapatkan rawatan, maklum Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

"Sejumlah 216 kes kematian (iaitu bersamaan 72 peratus) adalah merupakan kes kematian yang telah menerima rawatan di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, manakala selebihnya iaitu 84 kes kematian (bersamaan 28 peratus) adalah kematian yang berlaku sebelum tiba mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan," katanya.

Dr Adham berkata majoriti kes kematian yang mendapatkan rawatan tiba di hospital dalam keadaan tahap 4, kategori tenat iaitu 54.63 peratus manakala 26.85 peratus pada tahap 5, kategori kritikal.

Jelasnya, 90 peratus kematian disebabkan pneumonia - jangkitan paru-paru yang teruk dan kegagalan fungsi organ, sementara yang lain meninggal dunia akibat sakit jantung dan penyakit kronik lain seperti barah.

Adham berkata demikian pada jawapan bertulis parlimen bertarikh 17 November kepada Wong Ling Biu (DAP-Sarikei) yang bertanya apakah penyebab utama kematian Covid-19 di negara ini.

Daripada 300 kematian hingga 10 November, 67 peratus adalah pesakit lelaki manakala 86 peratus adalah rakyat Malaysia.

Sebanyak 85 peratus berusia di atas 50 tahun, dengan sebahagian besar berusia antara 60 hingga 69 tahun, katanya.

"Dapatlah dirumuskan bahawa faktor-faktor risiko yang boleh menyumbang kepada kematian kes Covid-19 adalah fakor umur, pesakit yang berusia 50 tahun ke atas, pesakit yang mempunyai komorbiditi, terutamanya darah tinggi, kencing manis dan lain-lain penyakit kronik; serta tahap klinikal pesakit adalah dalam tahap yang tenat dan kritikal ketika mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan," jelasnya lagi.

Bulan lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kira-kira satu pertiga daripada semua kematian dalam gelombang ketiga dibawa ke hospital selepas tidak lagi bernyawa.

Sabah mencatatkan kematian terbanyak dalam gelombang ketiga.

Oleh itu, Kementerian Kesihatan mengerahkan pakar forensik ke negeri Borneo itu untuk membantu dalam kes di mana individu yang dijangkiti Covid-19 mati di rumah atau sebelum sampai ke hospital.

Seramai 337 orang meninggal dunia kerana Covid-19 di Malaysia, 58 peratus daripada jumlah korban adalah di Sabah.

Korban pertama Covid-19 meninggal pada 17 Mac - seorang paderi di Kuching.

Pesakit termuda yang meninggal adalah dua kanak-kanak berusia dua tahun sementara yang tertua adalah wanita berusia 100 tahun di Sandakan.


Tiada ulasan: