Isnin, 9 November 2020

4 pengarah syarikat akan didakwa cemar sungai di Selangor

Siasatan awal mendapati pencemaran Sungai Kundang di Rawang, Selangor berpunca 
daripada bahan biodiesel yang disyaki dari kawasan perindustrian Kundang Jaya. (Gambar 
LUAS)

PETALING JAYA: Empat pengarah syarikat akan didakwa di sebuah mahkamah di Selayang hari ini kerana mencemarkan Sungai Kundang di Rawang, Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata, 3 lelaki dan seorang wanita itu akan didakwa di bawah Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Katanya, mereka juga akan didakwa di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil pekerja asing tanpa izin, manakala 8 lelaki Myanmar itu akan didakwa di bawah Seksyen 39(b) akta sama kerana tidak memiliki permit kerja sah.

“Ini adalah kes ke-3 dituduh JSJ Selangor sejak September lepas. Siasatan dan pertuduhan akan terus diambil bagi memastikan pengingkar dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bulan lalu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan pencemaran bau di Sungai Kundang, lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat, yang berjaya mengelakkan gangguan air di Lembah Klang.

Siasatan awal LUAS mendapati pencemaran itu berpunca daripada bahan biodiesel lebih 10 ton pada aliran yang disyaki dari kawasan perindustrian Kundang Jaya.

Tiada ulasan: