Jumaat, 13 November 2020

29 ahli geng kongsi gelap ‘TCB 21’ ditangkap

Athirah Huda Zalhe

 

Suspek disiasat bawah SOSMA, Akta Pencegahan Jenayah 1959

BANGI – Bukit Aman menangkap 29 ahli kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai ‘Geng TCB 21’, dalam satu operasi pada 13 hingga 14 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Huzir Mohamed berkata, kumpulan terbabit aktif melakukan kesalahan jenayah serius di sekitar Banting dan Dengkil.

Huzir berkata, Geng TCB 21 juga disyaki terlibat dalam satu kejadian tembak di Banting pada September lalu.

Katanya lagi, 29 ahli geng terbabit ditangkap di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan, Bab VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan kerana disyaki menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

“Siasatan turut dijalankan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang membenarkan tahanan selama 28 hari.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Ketua Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara (AGC), namun keterangan yang ada tidak mencukupi untuk mendakwa mereka di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Huzir berkata, siasatan PDRM mendapati Geng TCB 21 adalah kumpulan pertubuhan kongsi gelap haram yang aktif melakukan kesalahan jenayah serius seperti cubaan bunuh, merompak dan pemerasan.

“PDRM mempunyai keterangan yang mencukupi untuk mengambil tindakan pencegahan jenayah ke atas kumpulan ini di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959.

“Oleh yang demikian, pada 12 November 2020, PDRM telah menangkap 25 orang ahli TCB 21 di bawah akta tersebut.

“Tindakan ini bertujuan memastikan keamanan dan ketenteraman awam dapat dikekalkan serta memastikan kumpulan ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.

Tiada ulasan: