Kuala Lumpur: "Tidak mudah tetapi satu pengalaman menyeronokkan apabila dapat berkongsi ilmu dengan anak istimewa," kata Muhammad Arief Abdul Hakim.
Muhammad Arief, 28, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, Kota Kuala Muda, Kedah kini mempunyai 30 murid dengan tiga daripadanya adalah orang kurang upaya (OKU) kategori Sindrom Down dan tangan kudung.
Menurut guru silat itu, dia mengajar seni mempertahan diri pada masa terluang kepada muridnya yang berusia lima hingga 60 tahun.
"Mereka terdiri daripada penduduk setempat dan ada dalam kalangan anak istimewa.
"Cabaran mengajar murid istimewa ini adalah kerana mereka akan meragam pada masa tertentu tetapi saya perlu banyak bersabar dan bijak mengawal situasi," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Muhammad Arief berkata, sekalipun anak murid istimewanya tidak dihantar mewakili mana-mana pertandingan ,dia tetap gembira kerana dapat berkongsi ilmu yang ada.
"Setakat ini, mereka memang tidak dihantar menyertai pertandingan. Namun, mereka dipanggil membuat pertunjukan seperti kenduri kahwin dan acara keramaian.
"Sekurang-kurangnya ilmu yang ada tidak disia-siakan dan dapat dipertontonkan kepada masyarakat supaya mereka tahu OKU juga mampu menguasai kemahiran itu," katanya.
Menurutnya, selagi termampu dia akan terus memperjuangkan seni silat dan menarik minat anak muda termasuk lebih ramai OKU untuk mempelajarinya.
Katanya, ia dilakukan kerana tidak mahu seni mempertahankan diri Melayu itu dilupakan hanya kerana kemajuan dan perubahan zaman.
"Saya belajar silat sejak berumur empat tahun dan ayah, Abdul Hakim Abdul Rashid yang menjadi guru pertama saya dalam ilmu persilatan," katanya.
Katanya, dia dibimbing datuk saudaranya, Datuk Dr Raja Abdul Majid serta tiga bapa saudara iaitu Mohamad Wahab, Abdul Ghapar dan Mohd Khoharullah.
Malah, semua ahli keluarganya mahir bersilat termasuk ibunya, Rosna Wahab, 56.
"Oleh kerana itu, silat sebati dalam diri saya. Maka besar harapan saya untuk melihat silat terus hidup dan ada penyambungnya. Jika karate dan tomoi mendapat tempat, mengapa tidak silat " katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan