Khamis, 22 Oktober 2020

Ketua, 25 ahli Geng Rusa Boy tumpas

Oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM
HUZIR Mohamed (kiri) menunjukkan beberapa individu yang dikehendaki dalam sidang akhbar mengenai sindiket Macau Scam dan Geng 'Rusa Boy' di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini. - FOTO/AMIR KHALID 

KUALA LUMPUR: Kumpulan jenayah terancang dikenali ‘Geng Rusa Boy’ yang aktif mengedar dan memproses dadah sejak enam tahun lalu tumpas apabila ketua sindiket itu serta 25 ahli ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bulan lalu.

Dalam beberapa serbuan di semenanjung utara, kumpulan didalangi lelaki tempatan berusia 39 tahun dikenali sebagai ‘Rusa Boy’ yang menjalankan perniagaan pengangkutan lori itu dipercayai turut terlibat dalam jenayah kekerasan seperti kes bunuh, ugutan, senjata bahaya, senjata api dan samun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan mendapati kumpulan itu dianggotai 40 ahli dipercayai bergiat aktif sejak tahun 2014 sehingga kini.

Ujarnya, modus operandi kumpulan ini dengan  mendapatkan bekalan heroin base dari Thailand sebelum dibawa ke makmal haram di Pulau Pinang untuk pemprosesan. 

“Dadah yang siap diproses kemudian akan dihantar ke stor haram lalu diedar oleh suspek yang berperanan sebagai tokan dan runner sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan di negeri-negeri utara.

“Kita juga mendapati lima lagi lima ahli geng terbabit telah ditahan polis dan kini berada dalam penjara selepas menemukan satu tong plastik berisi dadah jenis heroin seberat kira-kira 12.52 kilogram (kg) yang ditanam di dalam tanah pada September lalu. Selain itu, lapan ahli lagi dipercayai masih bebas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini semalam.

Dalam pada itu, Huzir berkata, siasatan mendapati sindiket ini pernah membunuh salah seorang ahlinya kerana dikatakan membocorkan maklumat kegiatan kumpulan mereka.

Ujarnya, malah, pada tahun 2016, seorang lelaki maut turut ditetak kerana menjual dadah di kawasan Geng Rusa Boy.

“Dalam serbuan tersebut, wang tunai berjumlah RM22,110, dua buah kereta bernilai RM101,000 serta pelbagai jenis dadah seperti syabu, heroin dan ganja dianggarkan bernilai RM112,525 turut dirampas.

“Mereka semua akan dituduh di Kedah esok. Kita percaya dengan tertangkapnya ‘Rusa Boy’ serta ahli-ahli geng, kita telah melumpuhkan satu sindiket di utara,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: