Ahad, 4 Oktober 2020

Sultan Ibrahim kurnia pingat kepada barisan hadapan Covid-19

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memperkenalkan Pingat Jasa Dikenang 
sebagai menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan di Johor. (Gambar 
Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan memperkenalkan Pingat Jasa Dikenang, khusus menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan di negeri ini yang bertungkus-lumus memerangi penularan Covid-19.

Sultan Ibrahim berkata pingat serta surat akuan akan dikurniakan kepada penerima terdiri daripada pelbagai jabatan serta agensi yang secara langsung terlibat dalam penugasan.

“Dalam menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan di Johor, saya berkenan untuk mengurniakan mereka Pingat Jasa Dikenang.

“Teruskan usaha baik anda semua dan saya harap rakyat jelata terus memberi kerjasama sebaiknya bagi menghalang virus ini daripada terus menular,” kata Sultan Ibrahim kepada Royal Press Office (RPO).

Kenyataan Sultan Ibrahim itu dimuat naik di Facebook rasmi Sultan Johor, hari ini.

Terdahulu, Sultan Johor berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor Abdul Rahim Ramli di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, hari ini.

Pada pertemuan itu, Abdul Rahim turut mempersembahkan contoh surat akuan berkenaan kepada Sultan Ibrahim.

Warna riben pada pingat itu terdiri daripada putih, merah dan biru menandakan bendera Johor, manakala di bahagian belakang, terdapat reka bentuk 10 tangan memegang erat antara 1 sama lain menandakan 10 daerah di Johor.

Tiada ulasan: