CYBERJAYA – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini membuat laporan polis selepas difitnah menyertai program bermain golf ketika kes jangkitan Covid-19 meningkat di negara ini.

Beliau memaklumkan perkara itu menerusi Facebook Friends Of Dr Adham Baba hari ini selepas Setiausaha Politik beliau, Ustaz Shamsul Najmi selesai membuat laporan di Balai Polis IPD Putrajaya.

“Beberapa pihak dan individu yang memfitnah dan juga buat komen keterlaluan, menghina dan biadap telah dinamakan di dalam laporan tersebut,” katanya.

Awal hari ini, beberapa orang netizen memuatnaik status menuduh Dr Adham bersuka ria bermain golf ketika negara diambang gelombang baru jangkitan Covid-19.
 
Beliau menyifatkan tuduhan itu sengaja dilakukan individu terlibat dengan mengambil kesempatan isu Covid-19 untuk memburukkan imejnya sebagai Menteri Kesihatan.

“Apa pula saya main golf? Ini fitnah. Tidak ada langsung penglibatan saya bermain golf kerana saya berada di Putrajaya pada waktu itu untuk mengendalikan taklimat berkenaan Covid-19.

“Selepas itu saya menghadiri mesyuarat bahagian latihan Kementerian Kesihatan bagi melatih petugas-petugas KKM dan juga latihan kepakaran,” katanya, ketika menjawab tuduhan tersebut.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, beliau terbuka menerima sebarang kritikan atau teguran, namun tidak akan bertolak ansur jika melibatkan fitnah.

“Saya sedia menerima kritikan, teguran dan pandangan tetapi saya tidak akan berkompromi dengan fitnah dan orang yang bersikap biadap.
 
“Ya, rakyat berhak untuk kritik Menteri dan Kerajaan tetapi ia bukan lesen untuk memfitnah.

“Saya pula berhak pertahankan maruah diri kerana itu adalah Self Respect. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Insya’Allah hidup kita diberkati,” ujarnya, yang berharap pihak polis serta SKMM akan melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya. – SuaraTV