Jumaat, 9 Oktober 2020

Suara meminta tolong dari laut

Samadi Ahmad
 
MANGSA yang ditemui di laut diselamatkan sekumpulan pemancing. FOTO Ihsan Pembaca.

Kuala Langat: "Dalam perjalanan pulang dari memancing kami mendengar suara meminta tolong dan melihat seorang lelaki berpaut pada pelampung pukat di tengah laut," kata seorang pemancing, Mohd Saufi Yusof, 28 dari Batu Laut, di sini.

Mohd Saufi berkata, ketika kejadian dia bersama empat rakan dalam perjalanan pulang ke jeti di Batu Laut pada 4.30 petang, selepas selesai memancing.

Katanya, mereka terus menghampiri dan bertanya sama ada dia rakyat tempatan atau atau pendatang asing tanpa izin (Pati) bagi mendapatkan identiti mangsa.

Katanya, mangsa memperkenalkan diri sebagai Farizal berasal dari Kampung Kundang, Tanjung Sepat dan memaklumkan bot dinaiki bersama bapanya karam pada 10 pagi di perairan Batu Laut ketika keluar merawai ikan.

"Ketika diselamatkan mangsa berada kira-kira enam kilometer dari jeti Batu Laut," katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurutnya, mereka terus membawa mangsa ke jeti dan menghubungi polis serta ambulans untuk bantuan.

Sementara, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Kamalarifin Aman Shah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan dua beranak berkenaan daripada sepupu mangsa, Abdul Rashid Jakid pada 5.42 petang semalam.

Kedua-duanya dipercayai keluar merawai ikan pada 8 pagi.

Menurutnya, mangsa yang hilang dikenali Ab Rahman Mat Kasim, 66, manakala anaknya yang berjaya diselamatkan dikenali sebagai Farizal, 40-an.

"Berdasarkan keterangan anak mangsa, bot dinaiki mereka karam di kawasan perairan Batu Laut.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tidak dapat digerakkan semalam kerana hari semakin gelap dan keadaan cuaca tidak mengizinkan," katanya.

Menurutnya, SAR disambung pada 8 pagi hari ini dengan bantuan anggota polis, bomba dan nelayan bagi membantu mengesan mangsa yang hilang.

Tiada ulasan: