Khamis, 1 Oktober 2020

Selepas ditekan keluar Umno dari PN, Zahid didesak lantik Najib Pengerusi BN

Selepas ditekan keluar Umno dari PN, Zahid didesak lantik Najib Pengerusi BN

Oleh BORHAN AHMAD
malaysiadateline.com
October 1, 2020 9:26 am 

"Kita perlukan tokoh dan ikon untuk BN. Najib lebih dari mampu untuk tugas ini berdasarkan track record beliau yang lalu," cerita Lokman Noor Adam menerusi FB Live beliau.

Tekanan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi bukan sekadar menarik ahli Parlimen Umno keluar dari kerajaan Perikatan Nasional sahaja bahkan beliau didesak supaya Datuk Seri Najib Razak dilantik sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Menurut jurucakap kem Najib dalam Umno, Datuk Lokman Noor Adam, Zahid sekarang ‘tiada telur’ kerana ia sudah dipegang oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas beliau didakwa di mahkamah semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

“Kita sekarang bagi tempoh tujuh hari untuk Zahid tarik balik semua MP Umno dari kerajaan PN. Jika Zahid tak nak, kita kena buat sesuatu… lepas tujuh hari, lawan tetap lawan.

“Cuma masalah kita sekarang, Zahid takda telur, Muhyiddin yang ada telur,” kata Lokman ketika menjelaskan apa yang berlaku di belakang tabir politik negara sekarang selepas beliau memaklumkan tempoh tujuh hari diberikan kepada Zahid.

 
Menurut Lokman (gambar), sebelum ini Zahid telah berjanji untuk mengadakan Mesyuarat Agung Umno untuk membolehkan ahli memilih semula pemimpin Umno, namun ia tidak dilaksanakan oleh Zahid.

Ia berlaku selepas habis tempoh Zahid bercuti selama enam bulan apabila beliau didakwa di mahkamah.

“Semasa mahu kembali semula, saya dan Datuk Jamal dipanggil Zahid dan turut hadir Rafi Awang Kecik, orang kanan Annuar Musa. Dia minta dipastikan laluan mudah untuk beliau kembali.

“Beliau berjanji kepada saya dan Datuk Jamal… akan adakan EGM beri laluan kepada Najib tanding, serah balik kepada bos (Najib) kerana tak boleh cooped up (tanggung tekanan). Dia nak dilantik jadi timbalan presiden pun boleh.

“Namun lepas itu, dia pujuk pula tak nak ada EGM. Dia akan lantik Datuk Najib jadi Pengerusi BN…saya sokong. Ini kerana kita perlukan tokoh dan ikon untuk BN. Najib lebih dari mampu untuk tugas ini berdasarkan track record beliau yang lalu,” cerita Lokman lagi menerusi FB Live beliau.

Namun perkara itu tidak berlaku kerana selepas itu Zahid hanya melantik Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN yang tidak ada sebarang status dalam struktor BN.

“Sebab itu, saya kata Zahid ini manusia paling munafik… tak boleh tunai janji,” kata Lokman menjelaskan kenapa beliau mula menyerang Zahid sekarang.

PILIHAN RAYA SABAH

Menurut Lokman, apa yang berlaku dalam pilihan raya negeri Sabah juga menunjuk Zahid pemimpin yang lemah walaupun menurut beliau Sabah sentiasa menjadi simpanan tetap (fix deposit) untuk Umno dan BN.

“Sebelum pilihan raya Sabah, Bung Mokhtar telah umum BN akan bertanding semua 73 kerusi. Zahid overule dan kita tanding 43 je. Bila tidak tanding semua, orang tak yakin kepada BN menyebabkan kita menang hanya 14 kerusi sahaja,” kata Lokman.

Menurut Lokman, Umno dijanjikan sebagai Ketua Menteri Sabah jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang namun selepas menang dan mendapat kerusi terbanyak, Ketua Bersatu Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pula yang dilantik.

PEMULIHAN UMNO

Bagi Lokman, Umno tidak akan boleh pulih kembali jika terus bersama PN kerana ia akan sentiasa dikhianati oleh Muhyiddin yang menurut beliau atas arahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dalam pilihan raya lalu, Umno bertanding 122 kerusi Parlimen. Bila kita kerjasama dengan Pas, sekurang-kurangnya kita kena bagi 30 kepada Pas, tinggal lagi 92.

“Bersatu sekarang menuntut 58 atau 60 kerusi. Last sekali selepas berbincang kita kena bagi sekurang-kurangnya 40 kerusi kepada Bersatu. Tinggallah 52 kerusi.

“Masa kita dihina seluruh duniapun (PRU – 14) kita masih boleh menang 54 kerusi.Tak gila ke, nak tanding 52 kerusi je ketika kita dah bangkit,” kata Lokman lagi.

Tiada ulasan: