PUTRAJAYA - Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien menjalani kuarantin 14 hari di kediamannya meskipun kedua-dua keputusan ujian saringan Covid-19 dilakukannya adalah negatif.
Perkara itu disahkan Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamaruddin Jaafar kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis ratifikasi Triti Perjanjian Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW) di kementeriannya di sini hari ini.
"Iya (Hishammuddin) menjalani tempoh kuarantin 14 hari memenuhi garis panduan yang ditetapkan.
"Beliau telah menjalani dua kali ujian saringan Covid-19. Dua-duanya adalah negatif," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: MB Selangor, isteri jalani kuarantin di rumah
Sebelum ini, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong telah menyertai jentera kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Kerajaan memutuskan individu yang pulang dari Sabah bermula Sabtu lalu dikenakan perintah kuarantin sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19.
Ia berikutan jangkitan Covid-19 di negeri itu yang tinggi dengan lebih 1,000 kes aktif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan