PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan pemakaian purdah dan niqab tidak mampu untuk menghalang penularan Covid-19 kerana virus itu boleh ditembusi.

Beliau berkata, hanya dua jenis pelitup muka yang mampu mengelak dicemari virus Covid-19 iaitu pelitup muka perubatan dan bukan perubatan.

“Kena pastikan tiga lapisan, purdah satu lapisan tidak cukup (melindungi dari dijangkiti), jadi kita syorkan mereka yang pakai purdah dan kena pakai pelitup muka fabrik atau pun tiga lapisan,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai keperluan pemakaian pelitup muka bagi wanita berpurdah.

Peraturan untuk memakai pelitup muka diwajibkan oleh kerajaan pada 1 Ogos lalu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata, pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan di tempat awam yang sesak dan tidak diwajibkan di kawasan luas dan ada penjarakan fizikal.

Dalam pada itu, Noor Hisham turut ditanya mengenai cadangan seorang guru sekolah komuniti di sebuah pulau di Semporna, Sabah agar kerajaan mewujudkan pusat-pusat kuarantin di pulau-pulau yang mempunyai kes positif Covid-19.

Kata Noor Hisham, cadangan itu perlu diteliti dan dinilai risikonya terlebih dahulu.

Ujarnya lagi, kajian kearah itu akan dibuat oleh KKM.

“Kita kena lihat daripada penilaian risiko dan penduduk yang terlibat. Kalau ada jumlah itu ramai mungkin kita akan pertimbangan tetapi kita kena lihat dari isu logistik juga, jadi bukan hanya sekadar kita buka tempat kuarantin tapi juga pusat rawatan risiko rendah.

“Kita masih mengkaji kalau keperluan kita akan laksanakan,” katanya lagi.

Seorang guru Sekolah Bajau Laut Omadal di Pulau Omadal, Jefry Musa sebelum ini mencadangkan agar kerajaan mewujudkan pusat-pusat kuarantin di pulau-pulau yang mempunyai kes positif Covid-19 ekoran kesukaran dihadapi petugas perubatan yang datang ke kawasan kepulauan.

Katanya, ada sebahagian penduduk lari daripada menjalani saringan komuniti, serta kesukaran meyakinkan mereka yang positif untuk ke hospital di tanah besar bagi mendapatkan rawatan. – MG