Selasa, 6 Oktober 2020

Polis gesa mangsa sindiket wang tidak berlesen tampil

Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
NOORZAINY MOHD. NOOR

KEPALA BATAS: Polis menggesa orang ramai khususnya mereka yang pernah menjadi mangsa kepada sindiket pinjaman wang tidak berlesen supaya tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, ini susulan penahanan tiga suspek terdiri daripada dua lelaki tempatan serta seorang wanita warga Laos yang disyaki dalang sindiket tersebut di sebuah kondominium di Jalan Raja Uda, Butterworth, Jumaat lalu.

“Bagaimanapun sehingga kini, kita masih belum menerima maklumat mengenai sebarang laporan polis terutamanya yang dibuat oleh mangsa penipuan sindiket berkenaan,” katanya di sini.

Dalam serbuan kira-kira pukul 4 petang itu, polis turut menemukan 1,141 keping kad debit atau kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) pelbagai jenis selain wang tunai keseluruhan berjumlah RM140,565 dipercayai hasil daripada kegiatan berkenaan.

Turut dirampas dalam serbuan tersebut ialah sebuah beg berjenama Fila, lebih 80 keping resit bank, tujuh keping sampul surat yang mengandungi maklumat peminjam, dua keping salinan lesen pemberi pinjaman wang, dua mesin kira wang kertas, empat telefon bimbit, mangga kunci serta serangkai anak kunci.

Ketiga-tiga suspek yang berusia dalam lingkungan 24 hingga 30 tahun juga direman sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 kerana menjalankan aktiviti perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen.

Semakan lanjut mendapati, hanya seorang suspek iaitu lelaki warga tempatan itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah manakala dua lagi rakannya tidka memiliki rekod lampau. UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: