Oleh SAYED HESHAM IDRIS
IPOH: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memberi kebenaran kepada Ebit Lew untuk menghantar pelajar universiti itu pulang ke kampung setelah pendakwah bebas itu membuat permohonan secara rasmi.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, penghantaran pelajar ke kampung halaman semalam juga memenuhi operasi prosedur standard (SOP) seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan.
Menurutnya, bas yang membawa pelajar telah dinyah kuman terlebih dahulu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan bergerak pada pukul 12 malam semalam.
“UPSI telah menerima surat permohonan secara rasmi daripada Ebit Lew untuk membantu pelajar UPSI terutamanya mereka yang ingin pulang ke kampung selepas segala SOP serta peraturan-peraturan universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi diikuti sebaik mungkin.
“Ebit Lew menyewa dua buah bas untuk menghantar lebih 30 pelajar pulang ke Kelantan dan Terengganu.
“Kami menyambut baik kehadiran Ebit Lew membantu UPSI menghantar pelajar dan bersedia bekerjasama lagi jika diperlukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr. Mohammad Shatar berkata, bantuan Ebit Lew yang datang ke kampus UPSI semalam merupakan titik permulaan kerjasama yang sihat antara UPSI dan pendakwah bebas itu.
Menurutnya, kerjasama bukan sahaja dalam bentuk penghantaran pelajar pulang dengan bas, malah mendapat pengetahuan dalam bidang yang luar biasa sebagaimana yang diceburi oleh pendakwah itu.
Beliau berkata, UPSI sememangnya menggalakkan pelajar menceburi bidang kesukarelawanan dan dengan pengalaman Ebit Lew, ia diyakini dapat membantu pelajar.
“Saya dan Ebit Lew juga berbincang tentang aktiviti kemasyarakatan yang boleh disertai anak-anak mahasiswa,” katanya. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan