PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan parti politik melaksanakan perdamaian nasional tatkala Umno sendiri dalam mesyuarat biro politiknya bercadang keluar daripada Perikatan Nasional (PN) dan memberikan syarat baru kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Asyraf berkata, sudah tiba masanya ahli politik tanpa mengira parti melakukan gencatan politik, memikirkan solusi terbaik bagi kesejahteraan rakyat memandangkan situasi negara ketika ini dilihat meresahkan apabila rakyat semakin susah dan ekonomi negara pula menguncup.
“Mungkin inilah saat terbaik kita sama-sama meletakkan perbezaan yang ada ke tepian, demi memberikan penumpuan kepada agenda pendamaian nasional. Perkara yang dimaksudkan dengan agenda ini bukanlah bermakna kita mencairkan identiti mahupun ideologi perjuangan parti masing-masing.
“Agenda ini memberi keutamaan kepada parti politik menangguhkan persengketaan dalam soal perebutan kuasa. Segala kudrat, kecerdasan minda dan sumber daya digembleng bersama untuk mendatangkan formula terbaik bagi membantu rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, agenda perdamaian politik juga adalah manifestasi ketulusan kepimpinan setiap parti siasah untuk menzahirkan nilai perjuangan sebenar yang bukan hanya seputar perebutan takhta tetapi benar-benar untuk membantu rakyat.
Baginya, setiap pemimpin politik perlu memiliki iltizam dan komitmen serta kejujuran politik yang jitu untuk menjayakan agenda itu secara bersama.
“Jangan nanti kita dihukum oleh rakyat yang semakin mual dengan sikap politikus yang berterusan berbalah isu politik kuasa bagaikan tiada penghujung,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan