Isnin, 19 Oktober 2020

Beri kami RM1 bilion setiap tahun, kata KM Pulau Pinang kepada Putrajaya

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kerajaan persekutuan mesti 
memberikan ganjaran yang adil kepada negeri itu atas sumbangannya kepada KDNK.

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow meminta Putrajaya memperuntukkan sekurang-kurangnya RM1 bilion kepada negeri itu setiap tahun, berdasarkan sumbangannya kepada ekonomi.

Memetik sumbangan tahun lalu sebanyak RM94.7 bilion, atau 6.7% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), Chow berkata sebagai penyumbang ke-4 tertinggi dalam negara, kerajaan persekutuan mesti memberi ganjaran yang adil kepada Pulau Pinang.

Menurut Laporan Prestasi Ekonomi Pulau Pinang 2019 oleh Jabatan Perangkaan, sebahagian besar daripada RM94.7 bilion datang dari sektor perkhidmatan (RM48.7 bilion) dan pembuatan (RM40.5 bilion), dengan pembinaan (RM2.6 bilion), pertanian (RM2.1 bilion) dan perlombongan (RM200 juta) antara penyumbang lain.

Katanya, negeri ini hanya menerima dana persekutuan sebanyak RM241 juta tahun ini, terdiri daripada sumbangan per kapita tahunan berdasarkan jumlah penduduk, pemberian bantuan Covid-19 RM15.1 juta, dan dana pembaikan jalan, antara lain.

“Walaupun kami menghargai dana persekutuan yang diterima, peruntukannya tidak sebanyak yang kami berikan kepada negara,” katanya dalam ucapan penggulungannya di DUN hari ini.

Chow turut menekankan perbezaan dana diterima oleh negeri itu, dengan menyatakan Universiti Sains Malaysia (USM) sahaja menerima peruntukan RM525 juta tahun lalu, berbanding RM195.1 juta diberikan kepada kerajaan negeri dalam geran tahunan persekutuan antara 2017 dan Jun 2018.

“Juga, daripada RM6.78 bilion geran diberikan pada 2016, Pulau Pinang hanya menerima 3.18% berbanding 13 negeri lain,” katanya.

Chow berkata, Pulau Pinang meminta dana persekutuan sebanyak RM10 bilion untuk membina laluan Transit Aliran Ringan (LRT) pertamanya untuk mengurangkan lalu lintas tetapi ditolak.

Tiada ulasan: