Rabu, 21 Oktober 2020

Maksimum 30 peratus kakitangan k'jaan dibenar ke pejabat

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Bermula esok sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), maksimum 30 peratus pekerja sektor awam sahaja dibenarkan berada di pejabat, kata Ketua Pengarah, Perkhidmatan Awam, Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Bagi maksud itu, katanya ketua jabatan diarah supaya memastikan pegawai di peringkat pengurusan dan pentadbiran yang tidak diperlukan bekerja dari pejabat dijadualkan supaya bekerja dari rumah.

Menurutnya, ini sama ada secara penggiliran atau atau sepenuh masa agar kehadiran mereka di pejabat dioptimunkan pada kadar minimum sepanjang tempoh PKPB dikuatkuasakan.

"Ketua jabatan hendak memastikan keberadaan pegawai perkhidmatan awam persekutuan ke pejabat adalah pada tahap maksimum 30 peratus.

"Bagi maksud ini, ketua jabatan diarah supaya memastikan semua pegawai di peringkat pengurusan dan pentadbiran kementerian, jabatan dan agensi yang tidak diperlukan berada di pejabat sepenuh masa, dijadualkan supaya bekerja dari rumah (BDR).

“Arahan kehadiran bertugas ini adalah terkecuali kepada penyampaian perkhidmatan-perkhidmatan penting yang ditentukan oleh ketua jabatan selaras dengan surat edaran JPA," katanya dalam satu pekeliling, hari ini.

Namun, kata Mohd Khairul, dengan jumlah kehadiran sebanyak 30 peratus itu, ketua jabatan juga harus memastikan perkhidmatan asas agensi tidak terjejas dan berterusan dapat dicapai oleh pelanggan berdasarkan piagam pelanggan kementerian, jabatan atau agensi masing-masing.

Dia juga memaklumkan bahawa semua aktiviti bersemuka - mesyuarat, perbincangan atau latihan - akan dilakukan secara dalam talian sepenuhnya semasa tempoh berkenaan.

“Dokumen rahsia rasmi adalah tidak dibenarkan dibawa keluar sepanjang tempoh ini.

“Walau bagaimanapun, ketua jabatan boleh mempertimbangkan atas kepentingan tugasan dan prinsip bekerja dari rumah untuk memberi kebenaran membawa keluar dokumen rahsia rasmi termasuk salinan hardcopy atau softcopy berdasarkan garis panduan membawa rahsia rasmi keluar dari pejabat semasa tempoh perintah kawalan pergerakan oleh pejabat ketua pegawai keselamatan kerajaan Malaysia,” katanya.

Mohd Khairul berkata, arahan itu juga dipanjangkan kepada semua perkhidmatan negeri, pihak berkuasa berkanun, dan pihak berkuasa tempatan yang dikenakan PKPB.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob,  pada sidang medianya, mengarahkan pekerja dari sektor swasta dan awam yang dianggarkan sejuta orang supaya bekerja dari rumah sepanjang tempoh PKPB.

PKPB berkuatkuasa di seluruh Sabah mulai 13 Oktober sehingga 26 Oktober manakala di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Labuan, bermula 14 Oktober sehingga 27 Oktober.

Ia bertujuan mengekang penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat selepas pilihan raya negeri Sabah lalu.

Tiada ulasan: