Isnin, 26 Oktober 2020

Kerajaan negeri akur titah Agong, mahu usaha bendung COVID-19 diteruskan .

Bernama
Kerajaan negeri akur titah Agong, mahu usaha bendung COVID-19 diteruskan
Kerajaan negeri menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong. - Bernama
 
KUALA LUMPUR: Pucuk pimpinan kerajaan negeri akur dan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahukan kerajaan meneruskan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung penularan wabak COVID-19.
 
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di akaun Twitter rasminya @AmirudinShari berkata kerajaan negeri akan memberi tumpuan sepenuhnya untuk menggempur wabak COVID-19 yang melanda negeri dan isu-isu lain di negeri itu.
 
"Menjunjung kasih atas keputusan Seri Paduka dan Raja-Raja Melayu hari ini. Sekarang saya serta jentera Selangor dapat beri fokus sepenuhnya kepada Belanjawan 2021, menggempur COVID-19, (meningkatkan) kualiti dan perkhidmatan air," katanya.
 
Amirudin berkata jenteranya juga akan bekerjasama dengan semua pihak demi memastikan kesejahteraan negeri dan rakyat.
 
Sementara itu, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata titah Yang di-Pertuan Agong itu memberi semangat kepada kerajaan negeri untuk terus berusaha menghadapi cabaran khususnya dalam menangani COVID-19.
 
Muhammad Sanusi berkata sebagai pemimpin di peringkat negeri, pihaknya akan memberi sepenuh usaha dan sentiasa bersedia untuk berunding dengan semua agensi terlibat bagi memastikan pandemik COVID-19 itu dapat ditangani dengan baik.
 
Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man pula berkata kerajaan hari ini telah melakukan yang terbaik dalam menangani wabak COVID-19.
 
"Apa yang lebih penting bagi saya dalam mengurus tadbir Perlis adalah kepada tiga perkara utama iaitu pembangunan negeri, kebajikan rakyat dan kecekapan pentadbiran," katanya kepada Bernama.
 
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meminta semua pihak saling bekerjasama memerangi penularan wabak COVID-19, katanya ringkas menerusi laman sosial rasmi Facebook miliknya.
 
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula meminta semua pihak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong serta memahami maksud yang tersurat dan tersirat dalam titah Seri Paduka.
 
"Saya percaya apa yang dimahukan oleh Seri Paduka adalah supaya kita terutamanya ahli politik memberikan tumpuan lebih kepada rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi," katanya.
 
Al-Sultan Abdullah hari ini bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini dan amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak COVID-19 ini daripada merebak.
 
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Al-Sultan Abdullah bertitah perkara itu diputuskan setelah memperhalusi permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu selain melihat situasi sedang dihadapi negara ketika ini.
 
Pada masa yang sama Ahmad Fadil berkata Seri Paduka Baginda turut mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala 'politicking' (mainan politik) yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.--BERNAMA

Tiada ulasan: