Bernama
Bagi
geostrategis Prof Dr Azmi Hassan, nasihat Seri Paduka itu ialah kerana
pada ketika ini
pandemik COVID-19 yang melanda negara agak menggerunkan
serta mengejutkan, dan
kerajaan perlu diberi ruang untuk menanganinya. -
Bernama
KUALA LUMPUR:
Hentikan segala percaturan politik untuk menjatuhkan kerajaan atau
menukar Perdana Menteri, dan tunggu sehingga pandemik COVID-19 reda,
gesa penganalisis.
Ini susulan peringatan
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah
Shah dan Raja-raja Melayu supaya ahli politik menghentikan segera
segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.
Bagi
geostrategis Prof Dr Azmi Hassan, nasihat Seri Paduka itu ialah kerana
pada ketika ini pandemik COVID-19 yang melanda negara agak menggerunkan
serta mengejutkan, dan kerajaan perlu diberi ruang untuk menanganinya.
"Bila
keadaan sudah reda, kalau mempunyai majoriti boleh dilakukan
(politiking). Tunggu sebentar, kalau rakyat boleh bersabar dan
berkorban, saya tidak nampak kenapa ahli politik tidak boleh berkorban,"
katanya dalam temu bual eksklusif Buletin Bernama yang disiarkan di Bernama TV malam ini.
Azmi
berkata keputusan Seri Paduka bahawa tiada keperluan untuk darurat
diisytiharkan di negara ini adalah bertepatan kerana undang-undang sedia
ada iaitu Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit
1988) sudah mencukupi bagi menangani pandemik COVID-19.
"Jika
saranan ini tidak diambil kira, kesannya akan dilihat pada Pilihan Raya
Umum ke-15 nanti, jadi kepada ahli-ahli politik, berhati-hati kerana
rakyat sedang memerhati.
"Rakyat berasa
muak dan jemu dengan 'political maneuvering' dan percaturan politik ini
kerana ahli politik dilihat hanya mementingkan agenda politik dan
bukannya mementingkan agenda rakyat," katanya.
Turut
senada dengannya pensyarah Fakulti Kulliyyah Undang-undang, Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar yang
berkata Malaysia tidak ada keperluan mengisytiharkan darurat kerana akta
sedia ada sudah memadai.
"Apa yang patut
kita buat ialah kerjasama antara agensi yang perlu dipertingkatkan dan
diperkukuhkan, begitu juga dengan hubungan di antara kerajaan pusat dan
negeri, kita dapat lihat kerajaan negeri memang ada autonominya sendiri,
begitu juga kerajaan pusat.
"Pada masa
yang sama kerajaan negeri juga sepatutnya diberikan ruang dan kebebasan
untuk membuat keputusan dalam sesetengah perkara (dalam menangani
COVID-19)," katanya.
Hari ini Seri Paduka Baginda bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.
Al-Sultan
Abdullah bertitah perkara itu diputuskan setelah memperhalusi
permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu selain melihat situasi sedang
dihadapi negara ketika ini.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan