Khamis, 22 Oktober 2020

Addy Kana, Alvin terbabit Macau Scam, judi dalam talian [METROTV]

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
 

Kuala Lumpur: Polis menyerbu 12 pusat panggilan sejak Sabtu lalu susulan pembongkaran sindiket perjudian dalam talian membabitkan Addy Kana serta Goh Leong Yeong @ Alvin, awal bulan ini.

Serbuan dijalankan di sekitar Lembah Klang itu turut menahan 138 individu membabitkan 95 warga China serta 43 warga tempatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan mendapati kebanyakan pusat panggilan diserbu menyasarkan mangsa di China.

Beliau berkata, seramai 55 orang direman mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 manakala 85 individu diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

"Daripada 12 serbuan dijalankan, ada sebuah premis di Cheras didapati terbabit dengan kegiatan mempromosikan pelacuran di WeChat, QQApp dan Weibo. Selain itu, kami menahan seorang warga tempatan di sekitar Lembah Klang, semalam yang disyaki mempunyai kaitan dengan suspek yang melarikan diri.

"Kami akan menyiasat jika wujud pembabitan ahli politik dalam kegiatan ini, namun setakat ini kami tidak mengesan elemen berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

HUZIR (kiri) bersama pegawainya menunjukkan gambar suspek judi dalam talian di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS.
HUZIR (kiri) bersama pegawainya menunjukkan gambar 
suspek judi dalam talian di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari 
ini. FOTO ASWADI ALIAS.

Dalam pada itu, Huzir berkata, pihaknya menyerbu pejabat Alvin di Plaza Low Yat di ibu negara dan tidak menolak kemungkinan Alvin di plaza terbabit menjadi faktor dia mendapat 'tawaran' daripada sindiket di China.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati Addy mempunyai jenayah lampau bersabit kes samun mengikut Akta Ordinan Darurat 1969.

"Siasatan mendapati kedua-dua mereka adalah ejen sindiket didalangi warga China yang menjalankan kegiatan Macau Scam, penipuan pelaburan pertukaran mata wang asing (Forex) dan perjudian dalam talian.

"Kami dapati mereka memang terbabit dalam mencari peralatan, logistik dan kemudahan Internet. Wujud elemen 'scam'. Bagaimanapun, siasatan lanjut akan dilakukan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Cawangan Khas.

"Perintah lanjut reman ketiga-tiga suspek termasuk Addy akan dipohon mengikut Seksyen 4 (2)(a) POCA selama 38 hari apabila tempoh reman mereka tamat pada 3 November depan," ujarnya.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan pihak Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung tindakan Alvin yang berjaya melarikan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada 11 Oktober lalu.

Menurutnya, polis kini memburu tujuh individu berhubung premis pusat panggilan bagi perjudian dalam talian yang bergerak aktif di sekitar Lembah Klang.

Tiada ulasan: