Khamis, 22 Oktober 2020

Peniaga dijangka gulung tikar susulan kesuraman perniagaan [METROTV]

Mohamed Farid Noh
KEADAAN sepi tidak ada pelanggan yang datang di premis perniagaan di Terminal Bas Larkin Sentral, Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
KEADAAN sepi tidak ada pelanggan yang datang di premis perniagaan di Terminal Bas Larkin Sentral, Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed

Johor Bahru: Kira-kira 150 peniaga di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, di sini, dijangka gulung tikar dan tidak mampu membayar wang sewaan premis mereka berikutan kekurangan pelanggan sejak Perintah Pergerakan Kawalan (PKP), Mac lalu.

Tinjauan di kawasan lot perniagaan di situ, mendapati suasana terminal berkenaan suram dan hambar berikutan ketiadaan pengunjung berbanding sebelum ini, yang sentiasa dipenuhi pengunjung.

Sebelum penutupan sempadan Malaysia-Singapura Mac lalu, dianggarkan kira-kira 100,000 pekerja Malaysia di Singapura berulang alik dengan menaiki bas di terminal berkenaan selain pengunjung Singapura yang datang berbelanja hampir setiap hari dan hujung minggu.

Peniaga bahulu di terminal berkenaan, Shahrilnizam Mohamed, 49, berkata, semua peniaga di terminal itu kini tersepit apabila pengunjung yang semakin berkurangan menyebabkan jualan peniaga merosot teruk sejak PKP lalu.

"Jika sebelum PKP, Larkin Sentral tidak pernah hambar dan sentiasa dipenuhi penumpang bas dan teksi hampir sepanjang waktu dan peniaga mampu memperoleh pendapatan selesa.

"Namun, sejak Mac lalu, pendapatan peniaga merosot sehingga 90 peratus, malah selepas Lembah Klang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB) sejak 14 Oktober lalu, keadaan makin kritikal bagi peniaga yang 90 peratus adalah golongan Bumiputera.

"Saya dan rakan peniaga ada yang terpaksa menangguhkan bayaran sewaan premis di sini, sejak Julai lalu, berikutan tiada pendapatan masuk, walaupun pihak pengurusan ada menawarkan diskaun sewaan sebanyak 30 peratus sejak Julai sebelum ditukar kepada 20 peratus selepas itu," katanya.

PREMIS perniagaan di Terminal Bas Larkin Sentral, Johor Bahru sepi. FOTO Zain Ahmed
PREMIS perniagaan di Terminal Bas Larkin Sentral, Johor 
Bahru sepi. FOTO Zain Ahmed

Seorang lagi peniaga kuih tradisional yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Jas, 46, berkata, peniaga di situ tiada pilihan selain terus berniaga walaupun pendapatan harian yang masuk sangat menyedihkan.

"Ada peniaga yang tiada pendapatan harian masuk selama seminggu berturut-turut, ramai juga yang dapat pendapatan harian antara 60 sen sehingga kurang RM10 sehari kerana tiada pengunjung datang ke kedai mereka, sehingga terpaksa menutup perniagaan yang dibuka sejak 25 tahun lalu di sini.

"Saya buntu memikirkan nasib keluarga kerana sudah menjalankan perniagaan di sini sejak 1996, dan tahun ini terasa amat perit dengan sewa sudah tiga bulan tertunggak, padahal saya tidak pernah lewat membayar sewa sebelum ini.

"Saya dan peniaga lain memohon supaya pengurusan Larkin Sentral turun padang dan menyelami masalah peniaga di sini dan berharap dapat diberikan diskaun sewaan antara 40 hingga 50 peratus bagi membolehkan kami bertahan dan tidak gulung tikar, " katanya. 

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: