KUALA LUMPUR: Lapan lelaki ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan dalam Op Mabuk di beberapa buah lokasi di Petaling Jaya, yang berakhir awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua suspek ditahan berumur antara 23 hingga 57 tahun dalam operasi yang bermula Jumaat lepas.
“Polis turut mengeluarkan 54 saman terhadap pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi itu dan 22 daripadanya atas kesalahan memandu atau menunggang tanpa lesen.
“Mereka yang disaman atas kesalahan memandu atau menunggang tanpa lesen diminta hadir ke mahkamah mengikut tarikh perbicaraan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nik Ezanee berkata, 828 pengguna jalan raya dan 72 kenderaan diperiksa dalam operasi yang bermula pukul 11 malam hingga 3 pagi, setiap hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan