SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor akan menyalurkan Program Bantuan Prihatin Mahasiswa Darul Ehsan kepada pelajar yang terkesan akibat penangguhan pendaftaran pelajar secara bersemuka bagi insititusi pengajian tinggi (IPT) baru-baru ini.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mengumpul maklumat daripada mahasiswa yang terjejas bagi menyediakan bantuan berupa pengangkutan untuk pulang ke kampung halaman, bantuan makanan ataupun bantuan berupa pelitup muka dan cecair pensanitasi tangan.
Bantuan ini akan memfokuskan kepada 3 kategori pelajar IPT iaitu, pelajar dari Selangor yang belajar di Selangor, pelajar dari negeri lain yang belajar di Selangor dan pelajar Selangor yang belajar di negeri lain.
“Pelajar yang memerlukan bantuan-bantuan ini boleh merujuk kepada pautan Borang Edaran TS Care Kit (IPTS): http://bit.ly/mdekatA, Borang Bantuan Makanan Siswa Kampus Selangor (IPTA Sahaja): http://bit.ly/mdekatB dan Borang Bantuan Pengangkutan Anak Negeri Selangor: http://bit.ly/mdekatC,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata Amirudin, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan berkenaan melalui kerjasama antaranya dengan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mahasiswa Keadilan dan Biro Mahasiswa AMK Malaysia.
“Kerajaan negeri berharap inisiatif ini dapat meringankan beban yang dihadapi oleh golongan mahasiswa yang terkesan pada ketika ini,” katanya.
Pada 27 Sept lepas, Kementerian Pengajian Tinggi mencadangkan semua institusi pengajian tinggi menangguhkan terlebih dahulu pendaftaran bersemuka pelajar baru dan lama ke kampus yang dijadual bermula bulan ini selepas menterinya mencadangkan penangguhan sama melibatkan pelajar dari kawasan yang dikelaskan sebagai zon merah jangkitan Covid-19 baru-baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan