Ahad, 15 Mac 2020

Teruskan BMF, 10 lagi Malakat Mall akan dibuka tahun ini

fazleen safina

 

Daftar segera! 1,000 cawangan Raudhah Grocer juga bakal dibuka

BANGI – Pusat beli-belah Malakat Mall – yang menghimpunkan ribuan produk keluaran muslim – adalah langkah pertama yang menjadi platform kepada pengguna dan usahawan dari kalangan orang Islam.

Malakat Mall pertama mula beroperasi semalam, terletak di bandar teknologi Cyberjaya, dibina di negara ini bagi tujuan meningkatkan ekonomi usahawan muslim.

Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Cikgu Izzat Johari berkata, sebanyak 10 buah Malakat Mall dan 1,000 cawangan Raudhah Grocer lagi bakal dibuka tahun ini.

Justeru, pihaknya memerlukan sokongan padu daripada semua kempen Buy Muslim First (BMF) atau Beli Produk Muslim dalam usaha merealisasikan pembukaan pusat beli-belah berkonsepkan muslim.

“Bagaimana caranya? Beli syer daripada Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (Koppim Malaysia).

“Kepada pemilik produk muslim yang masih belum masukkan produk anda, sila hadir ke Malakat Mall untuk pastikan produk anda ada dalam mall muslim pertama ini,” katanya.

Malakat Mall di Cyberjaya mempunyai keluasan lebih dari 13006.43 meter persegi selain terdiri daripada tiga blok bangunan empat tingkat, dan menyasarkan lebih 15,000 pelanggan dalam tempoh sebulan pertama.

Malakat Mall adalah satu-satunya pusat beli-belah di negara ini yang mempraktikkan amalan patuh syariah dan menghidupkan syariat Islam seperti laungan azan, solat berjemaah dan solat Jumaat.

Antara keistimewaan pusat beli-belah ini ialah konsep ‘7 minit Solat Break’ iaitu peniaga dan pengunjung bebas bersolat di semua kawasan Malakat Mall.

Pada masa sama, Cikgu Izzat yang juga Ketua Prasarana BMF menyokong dan mengucapkan tahniah kepada pengasas Malakat Mall, Fadzil Hashim dan kesemua ahli pasukan atas pembukaan pusat beli-belah berkenaan.

Katanya, pembukaan Malakat Mall juga adalah satu anjakan paradigma kebangkitan ekonomi Islam pada tahun 2020.

“Saya memohon kepada semua umat Islam terus menerus titipkan doa semoga segala usaha kita dalam meneguhkan Kempen BMF ini akan diredhai oleh Allah SWT,” katanya


Tiada ulasan: