Ahad, 15 Mac 2020

Tentang jika kerjasama Hang Soon-Dong Zong iktiraf UEC

fazleen safina

 

Sokong jika kerjasama untuk teguhkan pendidikan kebangsaan

BANGI – Prof Datuk Dr Awang Sariyan memohon Timbalan Menteri Pendidikan I, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon mengkaji semula hasrat untuk bekerjasama dengan pertubuhan radikal, Dong Zong dan Jiao Zong sekiranya bermatlamat untuk mengiktiraf   Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Penyandang Kursi Za’ba, Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris itu berkata, Hang Soon semestinya maklum pengiktirafan UEC adalah bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Justeru, sekiranya kerjasama adalah untuk menyokong pelaksanaan UEC dan unsur lain yang bertentangan dengan pendidikan kebangsaan, Hang Soon mesti mempertimbangkannya semula.

“Jika kerjasama dibuat untuk meneguhkan dasar dan sistem pendidikan kebangsaan, pejuang pendidikan kebangsaan, sudah tentu sokongan akan diberikan.

“Terutamanya penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama Pendidikan negara.

“Malah, sokongan juga akan diberikan sekiranya kurikulum, bahan pengajaran terutamanya buku teks, latihan guru dan peperiksaan diseragamkan, sebagaimana yang ditulis dalam laporan Razak 1956,” katanya kepada Ismweb.net hari ini.

Terdahulu, Hang Soon yang juga Timbalan Presiden parti perkauman MCA mengesahkan akan bekerjasama dengan Dong Zong dan Jiao Zong dalam isu pendidikan Cina.

Hang Soon yang juga Timbalan Presiden parti perkauman MCA dilaporkan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan gabungan itu untuk menggerakkan reformasi pendidikan.

“Saya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, tapi yang lebih penting ialah menyatukan semua pihak antaranya Dong Zong dan Jiao Zong, pendidik dari semua pihak.

“… untuk bersama-sama saya bekerja keras, membantu saya menggerakkan reformasi pendidikan,” katanya.

UEC adalah satu silibus sekolah persendirian Cina, yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan.

Ia telah menjadi polemik dalam negara susulan desakan daripada Dong Zong supaya ianya diiktiraf dalam sistem pendidikan negara.


Tiada ulasan: