Rabu, 4 Mac 2020

Sidang Dewan Rakyat ditangguh ke 18 Mei

MALAYSIAKINI

Malaysiakini


Sidang Dewan Rakyat yang pada mulanya dijadual bermula 9 Mac ini telah ditangguh ke 18 Mei, menurut yang dipertuanya Mohamad Ariff Md Yusof.

Menurut Berita Harian hari ini, Ariff berkata beliau telah menerima surat makluman berkenaan tarikh baru untuk sidang ketiga Parlimen ke-14 daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.

“Surat sudah diterima malam tadi. Kenyataan akhbar akan dikeluarkan oleh Parlimen pagi ini.

“Tiada persidangan pada 9 Mac (Isnin). Tarikh baharu Istiadat Pembukaan Parlimen ialah 18 Mei 2020,” katanya seperti dipetik.

Dewan Rakyat pada mulanya dijadual bersidang bermula 9 Mac hingga 16 April, dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merasmikannya.

Bagaimanapun sumber sebelum ini membayangkan ia akan ditangguhkan bagi memberi masa kepada Muhyiddin untuk melantik barisan kabinetnya.

"Terdapat juga beberapa perkara yang perlu diselesaikan.

"Soalan-soalan untuk sidang Parlimen ini telah dikemukakan lebih awal jadi masa diperlukan untuk mengubah Aturan Urusan Mesyuarat dan juga soalan kini akan dijawab oleh menteri-menteri kabinet baru," kata sumber itu.

Ia juga membantutkan rancangan PH yang sebelum ini membayangkan mungkin akan mengusulkan undi tidak percaya kepada Muhyiddin, selepas keruntuhan kerajaan PH ketika kemelut politik yang berlaku sepanjang minggu lalu.

Tiada ulasan: