Rabu, 4 Mac 2020

Menunggu lahirnya negara 'baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur'



Malaysiakini


PULASAN | Barangkali kalau kemelut yang sedang berlarutan sekarang ini adalah sebuah drama muzikal, lagu paling tepat untuk melatarinya ialah Sunset Di Tanah Anarki.

Dengan denting gitar dan bingit dram, ia sedikit sebanyak dapat menzahirkan kekalutan yang berlaku dan pada masa sama beraura romantis.

Andai ku malaikat kupotong sayapku
dan rasakan perih di dunia bersamamu
perang kan berakhir cinta kan abadi
di tanah anarki romansa terjadi.

Di sebalik hu-ha-hu-ha yang berlaku, memang sebenarnya perjalanan politik Malaysia terlalu dekat dengan sisi romantis. Ia melibatkan rasa kasih sayang dan rindu dendam yang tidak tuntas selama bertahun-tahun.

Sedikit sebanyak memang ada yang terbuku di hati, tapi jauh di dasar rasa, kerinduan dan rasa berahi sajalah yang menebal dari sehari ke sehari. Perkelahian, kritikan, sindiran, kecaman dan berbalas-balas hujah adalah sekadar warna-warni yang diperlukan bagi melatari kisah percintaan itu.

Siapa dapat menafikan rasa maksyuk Umno dan PAS selama bertahun-tahun itu? Selepas berdekad berseteru, kedua-dua parti akhirnya tersedar bahawa di antara dua garisan berapi yang memisahkan mereka ada telaga berisi butiran cinta yang tidak berjamah berkurun-kurun.

Kemudian ada pula rasa rindu dendam pada sebahagian besar pemimpin Bersatu kepada entah siapa. Ia nampaknya suatu perasaan mujarad yang sukar diungkapkan.

Biasalah, tempat jatuh lagi dikenang; ini kan pula tempat bermesyuarat agung.
Selebihnya adalah rasa kasih dan setiakawan Azmin Ali dan kawan-kawannya.
Desing peluru tak bertuan
hari-hari yang tak benderang
setiap detik nyawa ini
kupertahankan untukmu.

Alasanku ada di sini
dan parasmu yang kurindukan
di neraka kan kumenangkan
hariku bersamamu.

"Brader, kita mesti terus hidup," kata Osman Tikus dalam Kembara Seniman Jalanan. Maka itulah yang berlaku. Hal yang paling menarik sekarang ialah bagaimana Muhyiddin Yassin menterjemah kasih sayang dan rindu membara itu menjadi sebuah kerajaan yang membawa bahagia.

Tak sama taraf

Untuk permulaan barangkali beliau boleh dibantu dengan kita mencadangkan beberapa nama pemimpin PAS untuk dilantik mengisi jawatan menteri.

Secara umum, kesemua 18 ahli parlimen PAS sekarang memang lebih daripada layak untuk dilantik. Dengan rekod cemerlang mereka yang bersih daripada segala skandal rasuah serta tinggi tahap integritinya, tidak ada masalah untuk sesiapa pun dipilih menjadi menteri.

Nah, itulah masalah Muhyiddin. Mungkin yang diperlukan untuk mengisi kuota PAS cuma ada 10, tetapi yang layak ada 18 orang.

Daripada sekian nama itu, tentulah tidak boleh diketepikan Tuan Ibrahim Tuan Man. Timbalan Presiden PAS itu adalah watak penting menggerakkan jemaah PAS di mana-mana. Meletakkan Tuan Ibrahim di Jabatan Perdana Menteri bagi menggantikan Mujahid Yusof adalah satu tindakan yang tidak sepatutnya diambil oleh Muhyiddin.

Mujahid bukanlah tarafnya sama dengan Tuan Ibrahim.
Maka ada dua portfolio yang wajar diserahkan kepada beliau - Kementerian Pertahanan atau Kementerian Dalam Negeri. Sebagai sebuah kerajaan yang dominan dengan pemimpin Melayu Islam, inilah masanya Malaysia membuktikan seorang ulama mampu menguruskan hal-hal pertahanan negara.

Dengan pengalaman luas beliau sebagai tokoh agama, sudah pasti Kementerian Pertahanan akan dapat diberikan wajah baru di bawah pemimpin PAS. Percayalah, bersama mereka nanti ialah keberkatan yang melimpah-ruah dari langit.

Bidang pertahanan bukan saja perlukan senjata canggih dan pantas, tetapi keberkatan yang banyak. Selebihnya adalah kerja Allah. Biasanya hal-hal sebegitu bukannya dapat dijelaskan dengan kata-kata.

Tolak pendapatan haram

Seperti iltizam PAS mahu melaksanakan hudud secepat mungkin (sebelum ini). Apa yang penting ialah pelaksanaannya dulu. Apabila terlaksana, akan timbul kegentaran pada hati-hati manusia di bumi ini. Ia mungkin sukar difahami oleh orang lain, tetapi ia adalah penjelasan amat mudah untuk ahli PAS yang melalui proses tarbiyah dan usrah secara istiqamah.

Watak penting seterusnya ialah Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan. Ahli Parlimen Kota Bharu itu mempunyai latar belakang undang-undang yang mantap. Maka pilihan pertama ialah menteri kewangan.

Dengan pengalaman beliau, cita-cita kita untuk melihat ekonomi Malaysia bebas daripada segala macam amalan riba, yang haram-haram atau meragukan akan mudah direalisasikan.
Cuma rasanya, ia akan menjadi igauan buruk buat segala macam syarikat judi, nombor ekor, pusat perjudian dan kilang arak dalam negara. Khazanah negara wajib dibersihkan daripada sumber yang haram.

Sekali lagi, keberkatan ekonomi yang kita idam-idamkan.

Jika tidak pun, Kementerian Kerja Raya juga sesuai untuk beliau. Ada banyak yang perlu dilakukan di situ. Antaranya berkenaan penstrukturan semula kadar bayaran tol bagi mengurangkan kos hidup rakyat.

Ia adalah satu daripada janji pilihan raya Gagasan Sejahtera yang dijuarai PAS sebelum ini. Mereka berikrar untuk menyemak semula perjanjian konsesi tol yang melebihi 15 tahun.

Nama-nama lain yang mesti dipertimbangkan oleh Muhyiddin ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Khairuddin Aman Razali - yang sesuai menjaga Kementerian Pengangkutan atau Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Nik Abduh Nik Abdul Aziz (Bachok - Kementerian Dalam Negeri atau Kementerian Luar), Ahmad Fadhli Shaari (Tumpat - Kementerian Belia dan Sukan), Dr Nik Zawawi Salleh (Pasir Puteh - Kementerian Pendidikan atau Kementerian Wilayah Persekutuan).
Lalu, di mana kedudukan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang?

Abdul Hadi mungkin tidak perlu diberikan jawatan menteri, sebaliknya diletakkan pada tempat yang tidak memerlukan beliau terlalu sibuk. Penasihat ekonomi atau pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka mungkin sesuai dengan kehebatan beliau yang menguasai bahasa Arab dan Melayu.

Jika menjadi penasihat ekonomi - dan kebetulan menterinya pula ialah Takiyuddin - kita boleh berharap keberkatan yang lebih banyak akan dinikmati negara.

Jika akhirnya diberi peranan di DBP, Abdul Hadi boleh mempengaruhi rakyat jelata bahawa mempelajari tulisan Jawi ada banyak kelebihan. Berikan penekanan kepada aspek itu. Jika boleh jadikan tulisan Jawi itu dipelajari dalam semua mata pelajaran sekolah rendah.

Tidak ada lagi alasan untuk menidakkannya. Bukankah DAP sudah tiada dalam kerajaan?

Namun yang paling ideal ialah, Abdul Hadi menolak semua tawaran yang diberikan Muhyiddin. Ia adalah bukti betapa besarnya jiwa beliau yang begitu dekat dengan isu-isu pentarbiyahan.

Jika sebelum ini Abdul Hadi dipersenda kononnya mahu menjadi perdana menteri, PAS boleh mematikan cakap-cakap tidak berasas itu dengan membenarkan Abdul Hadi kekal sebagai Abdul Hadi seorang ahli parlimen Marang.

Buktikan sepenuhnya bahawa Abdul Hadi tidak mengejar pangkat dan kedudukan. Izinkan beliau terus istiqamah dengan kuliah-kuliahnya di seluruh negara.

Cuma itulah, bimbang juga nanti akan dituduh orang Abdul Hadi meniru Lim Kit Siang. Ia tidak boleh dibenarkan sama sekali.

Dalam gelisah ku menunggu
berita tentang gerilyamu
semerbak rindu kuasai
udara panas ini.

Sepucuk surat telah tiba
dan senja pun ikut berdebar
kalimat indah dan kisahmu
tentang perang dan cinta.

Andai ku malaikat kupotong sayapku
dan rasakan perih di dunia bersamamu
perang kan berakhir cinta kan abadi
di tanah anarki romansa terjadi.


*Al-Abror Mohd Yusuf ialah wartawan Malaysiakini.


Tiada ulasan: