Senarai exco Melaka termasuk Adun Bersatu, PKR dan bekas DAP
MALAYSIAKINI
Ketua
Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali hari ini mengumumkan barisan Ahli
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Melaka dibarisi 10 Ahli Dewan
Undangan Negeri (Adun) yang menyokong gabungan Perikatan Nasional dalam
pembentukan kerajaan negeri.
Sulaiman berkata, daripada 17 Adun
yang menyatakan sokongan kepada gabungan itu, Adun yang dilantik sebagai
exco itu terdiri daripada enam Adun Barisan Nasional, dua Adun Bersatu,
satu Adun PKR dan seorang lagi Adun Bebas.
Beliau berkata senarai
anggota exco kerajaan negeri Melaka itu telah dibentang dan
dipersetujui Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob pada
pertemuan pagi ini.
"Pelantikan dan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan
dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat
Kerajaan Negeri Melaka akan diadakan di hadapan Tuan Yang Terutama (Mohd
Khalil) pada 2.30 petang ini," katanya pada sidang media di Seri Negeri
di Melaka, hari ini.
Isnin
lepas, Sulaiman, yang juga Adun Lendu daripada BN, mengangkat sumpah
jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 di hadapan Mohd Khalil.
Sulaiman
berkata, beliau akan menerajui sendiri portfolio Perancangan Ekonomi,
Kewangan, Pembangunan Tanah, Pantai dan Sungai, Pengurusan Air, Hal
Ehwal Agama, Perindustrian, Pelaburan, Teknologi, Komunikasi, Multimedia
dan Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dalam barisan exco itu.
Katanya,
Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia-PKR) dilantik Pengerusi
Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan; manakala Datuk
Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu-Bebas) dilantik Pengerusi
Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Kedua-duanya
dilihat kekal memegang portfolio sama seperti dalam kerajaan negeri
Melaka ditadbir Pakatan Harapan sebelum ini. Dilaporkan Selasa lepas (10
Mac) Lembaga Disiplin DAP telah memecat Norhizam daripada parti itu.
Sulaiman
berkata, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput-Bersatu) dilantik
Pengerusi Jawatankuasa Badan Bukan Kerajaan, Pembangunan Belia dan
Sukan; manakala Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-Bersatu) dilantik
Pengerusi Jawatankuasa Negeri di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan,
Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Inovasi).
Katanya,
bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang-BN)
dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah Luar Bandar
dan Pengurusan Banjir.
Beliau berkata jawatan untuk Pengerusi
Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna tidak akan
dilantik dan dikosongkan buat masa ini.
Berikut senarai penuh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka:
Pengerusi
Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Pantai
dan Sungai, Pengurusan Air, Hal Ehwal Agama, Perindustrian, Pelaburan,
Teknologi, Komunikasi, Multimedia dan Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) Datuk Sulaiman Md Ali (Ketua Menteri/Lendu-BN)
Pengerusi Jawatankuasa Negeri Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar Datuk Seri Abdul Ghafar Atan (Asahan-BN)
Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang-BN)
Pengerusi Jawatankuasa Negeri NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput-Bersatu)
Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Datuk Muhamad Jailani Khamis (Rembia-PKR)
Pengerusi Jawatankuasa Negeri Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Datuk Latifah Omar (Taboh Naning-BN)
Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur Datuk Roslan Ahmad (Merlimau-BN)
Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu-Bebas)
Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kesihatan dan Antidadah Rahmad Mariman (Ayer Molek-BN)
Pengerusi
Jawatankuasa Negeri di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian
Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Inovasi) Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-Bersatu)
Pengerusi Jawatankuasa Negeri, Perpaduan, Perhubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna (Masih kosong)- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan