Isnin, 9 Mac 2020

Selepas tidak lagi sekapal, Saifuddin dedah kisah Muhyiddin

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF07032020_CERAMAH-JELAJAH-PAKATAN-HARAPAN_15
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berceramah dalam Jelajah Pakatan Harapan di Taman Sri Andalas, Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI
 

KLANG – Baru dua minggu tidak lagi berada dalam satu kem, nampaknya Saifuddin Nasution sudah mula ‘mendedahkan’ cerita-cerita tentang bekas rakan seperjuangannya di dalam Kabinet sebelum ini.

Menerusi pentas siri Jelajah Pakatan Harapan yang berlangsung di Sri Andalas di sini, malam ini, Setiausaha Agung PKR mempersoalkan bagaimana Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu menggalas jawatan Perdana Menteri sedangkan beliau merupakan seorang pesakit kanser.

Katanya, Muhyiddin merupakan pesakit kanser yang baru saja pulih dan masih lagi perlu menjalani rawatan seterusnya.

“Saya kasihan dengan beliau (Muhyiddin) sebab kalau sebulan mesyuarat Kabinet empat kali setiap hari Rabu, beliau datang satu kali sebulan, lagi tiga minggu beliau cuti sakit.

“Beliau seorang pesakit kanser, beliau menjalani satu kali rawatan, beliau baru saja pulih,” katanya.

Saifuddin turut memberitahu, beliau masih ingat, Ahli Parlimen Pagoh itu sering mengambil cuti sakit ketika berada dalam Kabinet hingga pernah datang untuk menghadiri mesyuarat hanya sekali dalam sebulan.

Ujarnya, beliau tidak pernah terfikir bagaimana seorang pesakit kanser seperti Muhyiddin boleh memegang jawatan sebagai Perdana Menteri sedangkan jawatan itu penuh dengan segala macam tekanan.

Dalam pada itu Saifuddin turut menegaskan bahawa Muhyiddin perlu berdepan dengan beberapa perkara selepas ini ekoran  pengkhianatan yang dilakukan.

Siri jelajah Pakatan Harapan yang diadakan pada malam ini merupakan kali pertama diadakan di Selangor selepas PH tumbang pada 21 Februari lalu.

Antara pimpinan PH yang hadir pada siri jelajah berkenan iaitu Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, Setiuasaha Agung Publisiti DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar. – MalaysiaGazette



Tiada ulasan: