Sabtu, 14 Mac 2020

Politik liberal Anwar beri kesan negatif kepada Melayu

Aqila

 

Orang Melayu masih pegang pada agama, mandatori perlu dipertahan

SHAH ALAM– Sebab orang Melayu tidak menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana falsafah politik liberal yang diamalkan sudah diketahui umum.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff yakin pemahaman liberal Presiden PKR itu punca berlakunya konflik dalam kalangan masyarakat Melayu di negara ini.

Hak itu terbukti apabila rangkaian perhimpunan-perhimpunan reformasi anjuran orang Melayu suatu ketika dahulu kurang mendapat sambutan.

“Mereka juga meminta kerajaan mengekalkan polisi berkaitan keistimewaan Melayu dan Bumiputera serta tidak berlembut terhadap ancaman terhadap agama Islam dalam urusan pentadbiran negara,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui sebab orang Melayu tidak boleh menerima Anwar kerana ideologi politiknya yang liberal.

Dakwanya, ia dapat dilihat apabila Anwar mengajak DAP untuk menyertai bersama gabungan parti yang ditubuhkannya sebelum ini.

“Dulu Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) keluar parti dan tubuh parti Semangat 46. Tetapi itu parti Melayu. Anwar keluar-keluar dia buat parti liberal. Dia nak dapat sokongan daripada DAP maka dia ajak DAP masuk, PAS masuk. Falsafah dia liberal,” katanya.

Mengulas perkara itu, Dr Syed Agil percaya sikap liberalisme Anwar itu tidak begitu popular kepada orang Melayu berbanding kaum lain di negara ini.

“Fahaman liberalisme terhadap penyatuan kaum di negara ini yang sering diperkatakan Anwar memberi kesan terhadap persepsi negatif masyarakat Melayu Islam.

“Ini kerana bagi masyarakat Melayu yang masih berpegang kepada pegangan agama Islam termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan satu mandatori yang harus dipertahankan,” katanya.


Tiada ulasan: