Sabtu, 14 Mac 2020

COVID-19: Penjara, KBS tangguh semua program

tyrazalhe

 

Sambutan Hari Penjara dijadual pada 16 Mac ditunda ke tarikh lain

BANGI – Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengarahkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menangguh atau membatalkan semua perhimpunan, program dan acara di bawah seliaannya sehingga 30 April.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata, perkara berkenaan selaras dengan saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas serta keputusan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri mengenai COVID-19 semalam.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu akan diteliti semula sekiranya situasi COVID-19 bertambah baik.

“Keputusan dan peringatan pematuhan ini diambil atas sebab keutamaan untuk menjaga keselamatan dan kesihatan, khususnya para belia dan atlet-atlet sukan yang terlibat di pelbagai peringkat bagi mencegah kemungkinan jangkitan COVID-19 yang semakin menular.

“KBS juga mengambil maklum langkah-langkah proaktif yang telah diambil oleh beberpa badan sukan dan belia yang telah menangguhkan/ membatalkan program dan juga telah mengambil inisiatif larangan penonton di lokasi kejohanan masing-masing mengikut kesesuaian setelah mengambil kira nasihat pihak berkuasa khususnya Kementerian Kesihatan,” katanya.

Sementara itu, pihak Jabatan Penjara Malaysia juga memaklumkan penangguhan Sambutan Hari Penjara Malaysia ke-230 yang telah dijadualkan pada 16 Mac, susulan penularan COVID-19.

Unit Perhubungan Awam Jabatan Penjara Malaysia berkata, penangguhan itu termasuklah semua program Hari Penjara membabitkan penyertaan masyarakat dan akan memaklumkan tarikh penggantian sambutan itu kelak.

Setakat semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan 39 lagi kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 197 kes.

Dalam usaha menangani penularan wabak, Muhyiddin dalam Perutusan Khas mengenai COVID-19 malam tadi, menggariskan beberapa tindakan bagi Malaysia menangani jangkitan.

Perdana Menteri berkata, sehingga kini, 26 buah hospital kerajaan dan sebuah hospital universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya, mempunyai keupayaan untuk mengendalikan kes-kes COVID-19.

“Di samping itu, terdapat 57 hospital kerajaan dan 170 klinik kesihatan di seluruh negara yang bersedia untuk melaksanakan saringan kesihatan ke atas mereka yang bergejala penyakit COVID-19,” katanya.


Tiada ulasan: