Sabtu, 14 Mac 2020

Hibah TH petunjuk baik

Aqila

 

Kurang 4 peratus dipengaruhi keadaan ekonomi dan pasaran saham

BANGI – Pakar ekonomi yakin agihan hibah yang diumumkan Lembaga Tabung Haji (TH) semalam, adalah petunjuk baik dan dijangka akan terus meningkat untuk tahun akan datang.

TH mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat pada kadar 3.05 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, berbeza dengan tahun lalu yang hanya 1.25 peratus.

Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, kadar hibah yang kurang daripada empat peratus sebenarnya dipengaruhi keadaan ekonomi dan pasaran saham yang tidak memberangsangkan sepanjang 2019.

Beliau berkata, lebih 70 peratus pendapatan TH adalah daripada sumber pelaburan berpendapatan tetap seperti dalam bentuk sukuk, sedangkan keuntungan daripada pelaburan saham adalah agak rendah kerana pasaran saham yang kurang memberangsangkan.

Bagaimanapun katanya, kadar agihan tahun ini lebih baik, ia menunjukkan proses pemulihan TH dan jika berterusan kadar hibah atau bonus dijangka terus meningkat.

“Jika dibandingkan kadar hibah yang diumumkan sebelum 2018, diakui agak rendah kerana berlaku proses pemulihan.

“Bagaimanapun secara keseluruhan kita patut menerima kadar agihan ini sebagai satu angka yang munasabah dan sama-sama kita mendoakan negara dapat mengatasi wabak Covid-19 supaya kadar dividen yang lebih tinggi tahun depan,” katanya seperti di lapor Sinar Harian.

TH dalam satu kenyataan memaklumkan pada 31 Disember 2019, kedudukan kewangan pihaknya kekal stabil dengan jumlah aset melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM2.9 bilion (sebelum agihan keuntungan kepada pendeposit) berdasarkan jumlah aset RM74.3 bilion dan jumlah liabiliti RM71.4 bilion.

Dengan pengurusan kos yang berhemat, TH mencatat keuntungan selepas zakat bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1.9 bilion, iaitu peningkatan 19 peratus atau RM300 juta berbanding RM1.6 bilion bagi tahun kewangan lalu.


Tiada ulasan: