Ahad, 1 Mac 2020

PH mohon sidang Parlimen dijadual 9 Mac diteruskan

Bernama
PH mohon sidang Parlimen dijadual 9 Mac diteruskan
Dr Mahathir berkata kumpulan yang menyokongnya akan memohon agar persidangan Parlimen disegerakan untuk melihat siapa sebenar yang mendapat sokongan majoriti. - Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang bermesyuarat hari ini memohon agar sidang pertama bagi penggal ketiga Parlimen pada 9 Mac ini diteruskan seperti yang dijadualkan.

Menerusi kenyataan, Majlis Presiden PH menyatakan keputusan itu dibuat dengan sokongan 112 Ahli Parlimen.

"Ini adalah peluang terbaik untuk menentukan sokongan kepada perdana menteri dan seterusnya menamatkan kemelut politik negara yang tidak menentu sekarang," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Majlis Presiden PH turut melantik Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai ketua setiausaha PH yang baharu, menggantikan Datuk Saifuddin Abdullah yang keluar PKR pada 24 Feb lepas.
 
Awal pagi ini, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin bukanlah perdana menteri yang sebenar kerana beliau tidak mendapat sokongan majoriti dalam Parlimen.

Dr Mahathir, bekas perdana menteri interim, dalam sidang akhbar berkata sebaliknya beliau mendapat sokongan majoriti daripada 114 Ahli Parlimen, hasil daripada gabungan Pakatan Harapan, Parti Warisan Sabah dan beberapa Ahli Parlimen Bebas, sesetengahnya daripada Bersatu.
 
Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata kumpulan yang menyokongnya akan memohon agar persidangan Parlimen disegerakan untuk melihat siapa sebenar yang mendapat sokongan majoriti. -- BERNAMA 
 
 

Tiada ulasan: