Ketua jabatan boleh arah mana-mana pegawai jalani ujian COVID-19
KUALA LUMPUR
– Kerajaan telah bersetuju memberi pelepasan khas daripada bertugas
atau kebenaran untuk bekerja dari rumah bagi membolehkan ketua jabatan
mengurus petugas, yang disyaki dijangkiti COVID-19 dalam usaha
mengurangkan risiko penularan virus itu.
Perkara itu antara garis panduan
pengendalian isu-isu berkaitan penularan jangkitan COVID-19 di premis
kerajaan yang dikeluarkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohd
Khairul Abd Rahman, yang diedarkan kepada semua Perkhidmatan Awam
Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan, yang
berkuat kuasa hari ini.
Menurut garis panduan itu, setelah
melaksanakan imbasan suhu badan terhadap pegawai, ketua jabatan boleh
mengarahkan mana-mana pegawai yang disyaki, untuk menjalani ujian bagi
COVID-19 dan tindakan selanjutnya bergantung kepada keputusan ujian.
Antaranya, jika ujian bagi COVID-19 telah
dilakukan oleh pengamal perubatan, pegawai yang disahkan positif akan
diberi sijil sakit dan boleh menggunakan kemudahan cuti sakit.
“Selain itu, pegawai boleh dikategorikan
sebagai Pesakit Dalam Siasatan (PUI) dan diberi kebenaran tidak hadir
atas Perintah Pengawasan dan Pemerhatian manakala bagi pegawai yang
menunggu keputusan ujian COVID-19 pula mendapat pelepasan khas daripada
bertugas sehingga keputusan ujian COVID-19 diperoleh.
“Sementara pegawai yang diberi perakuan
untuk melakukan kuarantin sendiri di rumah boleh menggunakan pelepasan
khas daripada bertugas selama 14 hari, termasuk hari rehat mingguan,
hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am,” menurut garis panduan
itu.
Bagaimanapun, ketua jabatan
bertanggungjawab memastikan bilangan pegawai yang mencukupi berada di
kementerian atau jabatan masing-masing bagi memastikan kualiti
penyampaian perkhidmatan tidak terjejas.
Garis panduan itu juga memaklumkan supaya
kementerian atau jabatan mengambil langkah mencegah penularan COVID-19
termasuk melaksanakan imbasan suhu kepada semua pegawai dan pelanggan,
menyediakan kemudahan cecair pembasmi kuman, melaksanakan aktiviti
pembersihan secara berkala serta mematuhi saranan penjagaan kebersihan
yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.
“Bagi kementerian atau jabatan yang
dikesan mempunyai kes positif COVID-19, memadai dengan penutupan
sementara premis kerajaan bagi tujuan pembersihan dan nyah kuman di
kawasan yang mempunyai kaitan dengan kes COVID-19.
“Kementerian atau jabatan perlu merujuk
terus kepada pejabat kesihatan negeri yang berhampiran bagi melaksanakan
proses itu,” katanya.
Selain itu, garis panduan itu menyatakan
bahawa penganjuran sebarang program yang membabitkan warga kementerian
atau jabatan wajar ditangguh sepanjang tempoh penularan COVID-19.
Bagaimanapun, bagi program melibatkan
pelanggan yang tidak dapat dielak, tindakan wajar seperti mengehadkan
pergerakan pelanggan di dalam premis kerajaan, menyediakan cecair
pembasmi kuman untuk kegunaan semua pelanggan dan melaksanakan imbasan
suhu bagi setiap pelanggan di pintu masuk premis kerajaan perlu diambil.
Semua petugas kaunter atau barisan
hadapan pula diwajibkan mengambil langkah melindungi diri dengan
dibekalkan dengan cecair pembasmi kuman serta penutup hidung dan mulut
untuk digunakan semasa bertugas. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan