PETALING JAYA – Sehari sebelum
Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan bagi membendung wabak Covid-19,
rata-rata premis makan mula kehilangan pelanggan.
Bagi pengusaha restoran nasi lemak
terkenal di sini, Datuk Seri Mohd Shamil Abdullah, 64, perkembangan
tersebut sememangnya sudah dijangka apatah lagi para pelanggan kelak
hanya dibenarkan memesan makanan untuk dibawa balik ke rumah.
Secara tidak langsung perkhidmatan
penghantaran itu akan membantu memudahkan kerja-kerja penghantaran
makanan kepada pelanggan dalam waktu terdesak seperti ini.
“Sebab kita ada sediakan khidmat Grab Delivery tetapi kita tidak buka kedai, beri khidmat bungkuslah.
“Sudah tentu akan alami kerugian sebab
tempoh perintah ini dua minggu, jadi nasib baik ada Grab Delivery dan
boleh bungkus,” katanya kepada MalaysiaGazette yang membuat tinjauan
sekitar kawasan ini.
Mengakui perintah kerajaan merupakan
penyelesaian terbaik menangani wabak yang semakin menular dalam negara
namun dalam masa yang sama beliau tidak menolak sedikit kecewa bakal
berdepan dengan kerugian.
“Apa yang dilakukan ini ada baik ada buruk, buruk mungkin sementara waktu untuk peniaga,” katanya lagi.
Sementara itu, tinjauan di sebuah
restoran yang menyediakan hidangan negara matahari terbit mendapati
majikan di situ sudah mula mengarahkan sebahagian pekerjanya bercuti.
Ani Muhammad, 42, berkata, majikannya
mengmbil langkah drastik memberikan cuti tanpa gaji kepada lebih separuh
pekerja restoran sushi itu.
Ini kerana, katanya, operasi restoran
untuk tempoh dua minggu tidak akan sesibuk seperti biasa sebaliknya
hanya akan menyediakan makanan berdasarkan tempahan pelanggan.
“Pekerja sudah mula diberi cuti tanpa
gaji, lebih separuh. Sebab buat sementara waktu hanya boleh bungkus
tidak perlu ramai pekerja.
“Sebelum ini kami ada 10 pekerja, tujuh
telah diberi cuti,” katanya yang kelihatan agak risau memikirkan masa
depannya sebagai pekerja kedai tersebut.
Ani berkata, majikannya sudah tentu tidak
mahu berhadapan dengan risiko menanggung kerugian lebih tinggi untuk
menanggung gaji pekerja dalam masa yang sama perlu membelanjakan ribuan
ringgit untuk sewa kedai dan membeli bekalan makanan selain bil elektrik
dan air harus dilangsaikan.
Pengurus kedai Tseng Suk San, 38, pula
memberitahu MalaysiaGazette operasi kedai akan berubah berdasarkan
jumlah jualan dalam seminggu.
Sekiranya dalam seminggu pelanggan tidak
memberangsangkan maka majikannya memberitahu operasi akan dipendekkan
berbanding sebelum ini.
Lebih buruk risiko menutup sementara restoran juga tinggi, tambah Tseng.
Majikannya juga ujar beliau tidak lagi menyimpan bekalan makanan mentah seperti selalu kerana bimbang akan rosak begitu sahaja.
“Kami beroperasi hanya untuk take away
tengok pelanggan ramai atau tidak beberapa hari. Kalau ramai pelanggan
kami teruskan kalau tidak akan tutup sampai perintah kawalan pergerakan
tamat.
“Masa beroperasi pun tidak sama esok 9
pagi sampai 6 petang sahaja. Kalau tidak ramai orang kami kurangkan
waktu operasi lagi . Bekalan makanan mentah kami hanya sediakan stok
untuk sehari sahaja dulu. Takut cepat rosak,” kata beliau.
Mulai esok hingga 31 Mac tempoh Kawalan Pergerakan akan dilaksanakan susulan penularan wabak Covid-19.
Kerajaan juga melarang perhimpunan dalam skala besar.
Perkembangan terkini melaporkan direkodkan dua kematian akibat wabak itu. -MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan