Khamis, 12 Mac 2020

Melayu tidak sokong Anwar sebab falsafah politik liberal

siti hafidah

 

Tun M akui ada masalah dengan Presiden PKR ketika pimpin UMNO


BANGI – Orang Melayu tidak menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana falsafah politiknya yang liberal, demikian dakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bahkan beliau turut mendakwa orang Melayu belum boleh menerima ideologi liberalisme kerana takut kedudukan mereka terancam.

Ini kerana katanya, orang Melayu hari ini hanya ada kuasa politik.

“Kalau kita toleh ke belakang, bila dia terkeluar daripada UMNO ketika saya jadi Perdana Menteri (pada tahun 1998), dia cuba tubuh sebuah parti menentang saya.

“Dulu sebelum ini Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) keluar parti dan tubuh parti Semangat 46. Tetapi itu parti Melayu. Anwar keluar-keluar dia buat parti liberal. Dia nak dapat sokongan daripada DAP maka dia ajak DAP masuk, PAS masuk. Falsafah dia liberal,” katanya seperti dipetik Sinar Harian hari ini.

Ditanya mengenai persepsinya terhadap Anwar, Dr Mahathir mengakui mempunyai masalah dengan Ahli Parlimen Port Dickson itu.

“Saya menghadapi masalah dengan Anwar. Saya mengaku. Semasa saya menjadi Presiden UMNO, Anwar tersingkir dan dia kena hukuman penjara. Bila kita nak lawan dan nak jatuhkan Najib, saya berpendapat bahawa antara Najib dengan Anwar, saya rasakan Najib lebih bahaya,” katanya.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, beliau sanggup ‘rujuk’ kembali dengan Anwar, bahkan bekerjasama dengan DAP untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lalu.

“Kalau tidak kita tidak boleh kalahkan Barisan Nasional (pada Pilihan Raya Umum ke-14),” katanya.


Tiada ulasan: