Isnin, 2 Mac 2020

Kerajaan PH Melaka tumbang, Norhizam sertai kerajaan baharu

Wartawan MalaysiaGazette
88009184_2644158942470147_1478538956889915392_o
ADUN Pengakalan Batu, Datuk Norhizam Baktee bersama Ketua Pembangkang yang juga ADUN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron semasa sidang media penubuhan kerajaan baharu kerajaan negeri Melaka hari ini.
 

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka tumbang hari ini dan bakal diambilalih oleh gabungan parti politik baharu yang dikenali Perikatan Nasional.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ab. Raof Jusoh berkata, perubahan itu selaras dengan perubahan kerajaan Pusat.

“Secara rasminya, kerajaan PH Melaka tidak berfungsi, kita BN akan ambilalih kerajaan dan diumumkan setiausaha kerajaan negeri tidak lama lagi,” katanya dalam sidang media BN di Melaka hari ini.

Ab. Raof yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO berkata, pelantikan ketua menteri yang baharu juga akan diumumkan dalam masa terdekat.

Kesemua 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN kini bergabung dengan empat lagi wakil rakyat – dua daripada Bersatu, seorang ADUN DAP dan seorang ADUN PKR – menjadikan kesemuanya 17 ADUN.

Seorang wakil rakyat DAP itu ialah ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee manakala seorang wakil rakyat PKR ialah Datuk Muhammad Jailani Khamis yang juga ADUN Rembia.

Terdahulu Abd Raof menemui Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob bersama sekumpulan ADUN.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: