KUALA
LUMPUR– Setiausaha Penerangan MIC Pusat A.Subash Chandrabose
berkata, rakyat jangan sesekali terpengaruh dengan agenda Pakatan
Harapan (PH) kononnya mereka tumbang kerana gerakan pintu belakang.
Jelas beliau, apa yang rakyat perlu tahu adalah PH tumbang kerana
perbalahan mereka sendiri dan ia tidak ada kena mengena dengan pintu
belakang mahupun Muafakat Nasional.
“Siapa mengkhianati siapa? Siapa memulakan pergolakan kuasa? Kenapa
cakap demokrasi sudah mati? Apa peranan Muafakat Nasional dalam
kegagalan kepimpinan PH? Jika anda rasa demokrasi sudah mati, siapa
suruh Tun untuk meletakkan jawatan? Muafakat Nasional telah memilih
jalan pintu belakang? Muafakat Nasional sebenarnya telah mengikut
nasihat Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong. Salah ke? PH yang
makan nangka tapi kenapa getahnya mahu dipalit kepada UMNO dan Muafakat
Nasional?
“Sejak seminggu lalu kalau kita renung kembali, Azmin dan kawan-kawannya
dari parti PKR dilaporkan sudah kehilangan kepercayaan kepimpinan Datuk
Seri Anwar Ibrahim dan mula mencorak langkah untuk keluar dari parti
mereka. Kemudian, kononnya Tun Mahathir tertekan dengan desakan dari
pelbagai pihak untuk meletakkan jawatan, lalu Tun meletakkan jawatan
sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden PPBM.
“Pada mulanya kita melihat semua parti PH telah menyeru supaya Tun
Mahathir patut kekal sebagai Perdana Menteri dan kerana itu Tuanku Agong
telah melantik Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim sehingga
pergolakan kuasa selesai.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim pula telah menggunakan situasi ini untuk
mencalonkan dirinya sebagai Perdana Menteri. Parti-parti PH seperti Dap
yang pada mulanya menyokong Tun Mahathir telah ‘u-turn’ dan mencadangkan
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Baru. Tun Mahathir
pula terkejut apabila dirinya dikhianati oleh parti-parti PH maka beliau
dengan tiba-tiba mencalonkan dirinya sebagai Perdana Menteri dan
kembali menjadi Presiden PPBM dengan niat untuk menjatuhkan Anwar dan
kerana itulah Tun Mahathir telah mempelawa Muafakat Nasional untuk
menyertai dalam Kerajaan Perpaduan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Mengulas lebih lanjut ujar Subash, Muafakat Nasional dengan tegas
telah menolak sebarang kerajaan perpaduan bersama dengan Parti Dap.
“Muafakat Nasional rela menjadi pembangkang dari menjadi sebahagian
daripada Kerajaan PH.
Disebabkan tiada kata sepakat maka Tuanku Agong
telah meminta setiap ketua politik untuk menghadap bagi melihat majoriti
Ahli Parlimen yang menyokong siapa. Sayangnya pertemuan tersebut gagal
kerana tiada siapa yang mendapat majoriti.
“Mengambil kesempatan daripada pergolakan ini, Tun Mahathir pula
mencadangkan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Ketika Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertelangkah, Muafakat
Nasional pula menghadap Tuanku Agong dan mencadangkan Muyiddin sebagai
Perdana Menteri yang akhirnya dipersetujui oleh Tuanku Agong.
“Ini menambah kemarahan Tun Dan Anwar,” jelas beliau.
Justeru ujar Subash, sekiranya Tun dan Anwar menuduh Muhyidin sebagai
pengkhianat, sejarah juga telah mencatatkan bahawa Anwar Ibrahim juga
pernah mengambil kesempatan untuk merampas kuasa dari Tun Abdullah (Pak
Lah) sebelum ini.
“Jadi siapa yang gila kuasa sebenarnya? Tun Mahathir telah mengakui
bahawa Anwar memang gila kuasa dalam mesyuarat bersama media tetapi
sebenarnya Tun juga gila kuasa,” bidas beliau. – UMNO ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan